Kerajaan sedia RM100,000 bantu persatuan belia dan sukan lesu
Kerajaan sedia RM100,000 bantu persatuan belia dan sukan lesu
JERANTUT – Kerajaan Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membantu persatuan belia dan sukan di peringkat daerah dan kampung, termasuk Kampung Orang Asli, yang dikenal pasti lesu serta berdepan masalah pentadbiran untuk kembali aktif.

Fadzli Mohamad Kamal turut serta berlari Program Pahang First Fun Run di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Majlis Daerah Jerantut dan Cameron Highlands antara kawasan yang dikenal pasti mempunyai persatuan belia dan sukan yang kurang aktif.
Menurutnya, situasi itu menuntut persatuan terlibat mengemas kini struktur pentadbiran serta membuka ruang penyertaan lebih luas kepada golongan muda bagi memastikan kelangsungan persatuan.
“Bagi menyokong usaha menghidupkan semula persatuan yang terlibat, kerajaan negeri menyalurkan kira-kira RM100,000 sebagai dana permulaan untuk pelaksanaan aktiviti dan program komuniti.
“Selain itu, kepentingan penyertaan inklusif melibatkan kaum Cina, India serta komuniti Orang Asli perlu dipergiatkan dalam persatuan belia dan sukan bagi melahirkan generasi muda yang sihat, berdaya tahan dan bersatu padu,” katanya kepada media selepas Program Pahang First Fun Run di sini, semalam.
Fazli berkata, Program Fun Run itu misalnya mencatat hampir 2,000 penyertaan, dengan lebih 80 peratus terdiri daripada golongan belia.
“Ini membuktikan golongan muda dahagakan aktiviti riadah seperti ini, namun sebelum ini kurang penganjuran akibat persatuan yang tidak aktif.
“Pahang mempunyai banyak lokasi berpotensi untuk aktiviti sukan dan rekreasi berasaskan alam semula jadi termasuk Jerantut yang kaya dengan laluan hutan, bukit, gunung serta aktiviti air boleh diketengahkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan persatuan belia dan sukan merangka kalendar aktiviti berterusan, memperkukuh jaringan kerjasama serta memanfaatkan kemudahan sedia ada bagi menarik penyertaan komuniti setempat.
“Antara program yang dirancang ialah Mara Lasak Pahang yang dijadual berlangsung di Chini, melibatkan agensi kerajaan, badan beruniform, komuniti dan pelajar, khusus untuk rakyat Pahang,” katanya.- SAHIH.
