Kerajaan perkukuh usaha tangani bencana banjir, fokus penambahbaikan infrastruktur
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid merakamkan gambar kenangan di Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 dan 10 Tahun NADMA di Padang Persatuan Bolasepak Jerantut, hari ini.
Kerajaan perkukuh usaha tangani bencana banjir, fokus penambahbaikan infrastruktur
JERANTUT – Kerajaan terus memperkukuh usaha dalam menghadapi musim tengkujuh dengan memastikan gerakan bantuan bencana banjir lebih tersusun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada aspek keselamatan dan logistik, tetapi juga kepada kebajikan keluarga mangsa, termasuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada aktiviti pembelajaran dan sosial semasa berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), KEMAS, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta menggunakan perkhidmatan Radio Amatur.
“Selain itu, pelbagai aktiviti telah dirancang di PPS bagi mengisi masa anak-anak mangsa banjir agar mereka tidak terbiar atau trauma sepanjang tempoh penempatan sementara tersebut. Penambahbaikan Bantuan dan Infrastruktur akan dititik beratkan,”katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 dan 10 Tahun NADMA di Padang Persatuan Bolasepak Jerantut, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga menekankan keprihatinan terhadap beban kewangan yang ditanggung mangsa banjir.
“Jika sebelum ini bantuan berjumlah RM500 diberikan, kini jumlah itu telah dinaikkan kepada RM1,000 bagi setiap keluarga yang terkesan.
“Sebanyak RM205 bilion telah diperuntukkan untuk menangani isu banjir di seluruh negara, dengan sebahagian besar digunakan untuk membina infrastruktur tebatan banjir,”katanya.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah diarahkan untuk mendalamkan sungai-sungai cetek bagi mempercepatkan aliran air ke laut dan mengelakkan limpahan yang menyebabkan banjir besar, seperti yang berlaku pada tahun 2022.
“Antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah keengganan sesetengah penduduk untuk berpindah ke PPS atas faktor keselamatan harta benda.
“Kerajaan sedang merangka mekanisme pendaftaran khas untuk mengenal pasti mereka yang enggan berpindah agar tetap layak menerima bantuan,”katanya.
Katanya, penyaluran bantuan kini akan dilaksanakan secara terus melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memastikan ketelusan dan kecekapan.
Menurutnya, kerajaan turut merancang untuk membina Pusat Pemindahan Sementara Kekal (PPSK) yang lengkap dengan kemudahan asas seperti tandas, dapur, dan ruang tidur lebih selesa.
“Ini bagi menggantikan penggunaan dewan sekolah atau bilik darjah yang selama ini digunakan tetapi tidak memadai dari segi kemudahan.
“Menariknya, pusat ini juga akan digunakan oleh komuniti setempat dan sekolah-sekolah di luar musim banjir, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kemudahan tersebut,”katanya.-SAHIH