Kerajaan Pahang Peruntuk RM2.5 Juta Bina R&R di Laluan LTU
Kerajaan Pahang Peruntuk RM2.5 Juta Bina R&R di Laluan LTU
BENTONG – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi membina kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sementara di sepanjang laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) menjelang musim perayaan Aidilfitri ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kemudahan itu akan dibina di dua hingga tiga lokasi strategik di sepanjang laluan Karak hingga Gua Musang yang merangkumi jarak kira-kira 300 kilometer.
Menurut beliau, langkah ini diambil bagi memastikan keselesaan pengguna jalan raya, terutama mereka yang melakukan perjalanan jauh semasa musim perayaan.
“Kita memahami keperluan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan LTU ini, terutama pada musim perayaan yang sering menyaksikan peningkatan mendadak jumlah kenderaan.
“Sebagai langkah proaktif, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membina beberapa kawasan R&R sementara yang akan menyediakan kemudahan asas seperti tandas, surau, dan ruang rehat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, walaupun bersifat sementara, R&R yang dibina ini akan membantu mengurangkan kesesakan di hentian sedia ada serta memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.
Sebelum ini, terdapat laporan mengenai ketiadaan kemudahan rehat yang mencukupi di sepanjang laluan LTU, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.
Pembinaan kawasan R&R ini dijangka dapat memberi manfaat kepada ribuan pengguna yang menggunakan laluan LTU sebagai laluan alternatif ke Pantai Timur, terutamanya dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri.
Kerajaan Negeri Pahang berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa dan selamat bagi semua pengguna jalan raya.-SAHIH