KERAJAAN PAHANG BELANJA RM7.8 JUTA BANTU RAKYAT
KERAJAAN PAHANG BELANJA RM7.8 JUTA BANTU RAKYAT
KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM 7.8 juta untuk Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid -19 secara bersasar kepada rakyat Pahang yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan besar yang disediakan itu sebagai tanda cakna dan mengambil berat daripada kerajaan negeri ke atas kemaslahatan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang.
“Jumlah disediakan adalah menurut kemampuan kewangan kerajaan ketika ini, sepertimana inisiatif-inisiatif bantuan yang lain sebelum ini, BPP Covid-19 secara bersasar yang akan diberikan kali ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.
“Antara golongan yang akan memanfaatkannya ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, termasuk mangsa menjalani kuarantin di rumah, gelandangan, miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berusia 80 tahun ke atas,” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Katanya, segala persediaan sedang giat dilakukan dan diharapkan pengagihan sebenar BPP Covid-19 secara bersasar ini dapat dilaksanakan segera, agar bakal penerima dapat memanfaatkannya dalam kadar segera.
“Kerajaan memohon semua rakyat negeri Pahang sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar penularan wabak ini dapat diputuskan demi kesajahteraan semua.
“Jangan menjadi orang yang degil dan mementingkan diri sendiri dengan keluar rumah ketika diarahkan kuarantin kendiri dan di rumah sehingga dikenakan kompaun,”katanya.-SAHIH