Kerajaan negeri sumbang RM 1.8 juta kepada veteran tentera dan polis
Kerajaan negeri sumbang RM1.8 juta kepada veteran tentera dan polis
TEMERLOH – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 1. 8 juta dengan sumbangan tunai secara one-off sebanyak RM200 kepada 8,000 orang veteran tentera dan 1,000 orang bekas polis, hari ini.
Kerajaan negeri berterima kasih kepada anggota tentera dan polis yang berjasa pada ketika banyak kawasan hitam yang membawa kepada rentetan pertempuran yang berlaku seperti tragedi serangan Balai Polis Kuala Krau (Temerloh), pertempuran di Sungai Calit (Raub), pertempuran di Ulu Atok (Raub), serangan hendap yang berlaku di Chenor (Maran) serta serang hendap di Sungai Yu (Lipis).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kita bersyukur, sehingga hari ini, tanah air Malaysia kekal bebas dan merdeka daripada hasil jasa dan pengorbanan perwira negara yang berjuang mempertahankan negara daripada ancaman komunis.
“Semuanya adalah wira-wira negara sama ada yang terlibat dalam pertempuran secara langsung mahupun tidak secara langsung, kerana yang pastinya, anda semua berperanan mempertahankan tanah air.
“Sudah terpahat dalam sejarah negara kita betapa besarnya pengorbanan dan hebatnya perjuangan anggota tentera dan polis demi mempertahankan negara dengan melalui pelbagai cabaran berliku terutama sekali sepanjang tempoh darurat yang pastinya mencatat banyak kisah pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas komunis,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Veteran Polis dan Tentera di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh, hari ini.
Katanya, beliau berasa bangga dan teruja dapat bersua muka dengan veteran polis dan tentera yang merupakan antara benteng keselamatan negara yang pernah mempertaruhkan jiwa dan raga bagi memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat sentiasa terjaga dan terpelihara.
“Ada yang telah diabadikan dalam buku-buku sejarah, dalam filem dan drama, malah ada juga kisah yang diwarisi melalui penceritaan daripada orang tua kita.
“Bumi Pahang sememang terkenal dengan lahirnya pahlawan Melayu yang berjuang demi agama negara dan bangsa seperti nama-nama besar Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Lela dan semuanya pendekar yang gagah menentang penjajah,” katanya.
Katanya, aura perjuangan dan semangat kepahlawan pendekar-pendekar inilah yang telah diwarisi oleh kita semua terutamanya perwira negara yang berada di depan saya ini.
“Atas hakikat ini, kerajaan Pahang tidak pernah sesekali melupakan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan terutamanya yang berasal dari negeri ini, pada BBP 2020 dan 2021 telah disampaikan berjumlah RM450,000.
“Tahun ini, menerusi BPP 2022, kerajaan negeri telah memperuntukkan bantuan khas untuk veteran tentera dan bekas polis yang dikenali sebagai Kluster Apresiasi sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri,” katanya.-SAHIH.