Kerajaan negeri Pahang menjadi contoh dalam memberi bantuan banjir
Kerajaan negeri Pahang menjadi contoh dalam memberi bantuan banjir
TEMERLOH – Kementerian Kemajuan Desa dan WILAYAH (KKDW) akan meneruskan bantuan membaiki rumah yang terjejas banjir.
Di Pahang, sebanyak 5,100 buah rumah yang terjejas banjir pada tahun 2021 dan 2022 akan dibaiki dengan peruntukan sebanyak RM75,000 .
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam perkara itu, KKDW akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang.
KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM66,000 bagi sebuah rumah dan kerajaan negeri Pahang telah bersetuju memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM9,000 bagi sebuah rumah.
” Di mana keluasannya bertambah daripada piawaian biasa daripada 700 kaki persegi kepada 1,000 kaki persegi, saya harap kerajaan negeri lain akan mengikuti cara kerajaan negeri Pahang ini. “
KKDW turut meluluskan perolehan 14 buah bot beserta peralatan berjumlah RM259,000 selain meluluskan peruntukan bagi pembinaan 5 buah rumah penduduk yang terlibat banjir projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).
Sementara itu katanya, permohonan peruntukan di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) di bawah kementerian itu turut diluluskan, bagi penempatan semula penduduk terjejas banjir sekitar Lanchang dan Temerloh.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula telah meluluskan sebanyak RM5 juta untuk pembinaan dewan tertutup di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh sebagai Pusat Pemindahan Kekal.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke tapak tebatan banjir di Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, Pahang.-SAHIH