Kerajaan negeri mahu Pakej 6 : Karak-Simpang Pelangai dapat dibina
Kerajaan negeri mahu Pakej 6 : Karak-Simpang Pelangai dapat dibina
RAUB – Kerajaan negeri Pahang berharap agar pembinaan laluan Pakej 6 : Karak – Simpang Pelangai dengan kos RM750 juta ringgit dapat diluluskan.
Menteri Besar Pahanag, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau difahamkan Kementerian Kerja Raya (KKR) juga mempunyai perancangan untuk menyambung laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) itu sehingga ke selatan yang dinamakan Lingkaran Tengah Selatan (LTS).
“Untuk itu, adalah penting agar laluan LTU ini dibina sehingga ke Simpang Pelangai agar lebih ramai pengguna dapat memanfaatkan laluan ini untuk mempermudahkan urusan masing-masing.
“Sementara itu, pembukaan jajaran laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) iaitu Seksyen 5A: Raub ByPass yang dibuka menyingkatkan masa perjalanan dari Leburaya Pantai Timur (LPT) ke Kuala Lipis tanpa perlu melalui bandar Bentong dan Raub dengan jarak perjalanan sepanjang 45.3 kilometer (km) yang mengambil masa hanya 30 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5A: Raub Bypass, Raub, semalam.
Katanya, perjalanan di laluan ini menjimatkan masa sehingga dua jam berbanding melalui jalan sedia ada yang terpaksa melewati bandar Bentong dan Raub dan diharapkan dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya kerana simpang jalan yang bakal dibuka dilengkapi dengan lampu isyarat.
“Saya mengikuti perkembangan projek ini secara prositif dan saya yakin apabila kesemua enam pakej pembinaan ini siap pada tahun 2026, ia akan memberi banyak kelebihan kepada Negeri Pahang terutamanya melibatkan daerah Bentong, Raub dan Lipis.
“Sebelum ini, tiga laluan telah pun dibuka iaitu, Laluan dari Mentara ke Kampung Seberang Jelai, Lipis yang dibuka pada 26 Julai 2020; Laluan dari Kampung Asap ke Kampung Sertik dan Bentong Bypass pada 7 Oktober 2021 dan Laluan dari Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap serta Persimpangan Krau, Raub pada 25 Jun 2023,” katanya.
Wan Rosdy berkata, ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan infrastruktur asas berkualiti kepada rakyat, di mana menerusi LTU ini, jarak dan masa perjalanan dari Bentong Ke Kuala Krai, Kelantan dapat dipendekkan.
“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Persekutuan terutamanya pada musim perayaan serta mengurangkan jumlah kemalangan,” kataya.-SAHIH.