Kera beruk musnah durian, pekebun rugi
Foto atas : Antara ratusan buah durian dimusnahkan oleh kawanan kera dan beruk di Kampung Kuala Medang.
Gara-gara ancaman kawanan kera dan beruk, ratusan buah durian muda gugur, pekebun bakal ‘gigit jari’
LIPIS – Beberapa orang pekebun durian berdepan kerugian berikutan hasil tanaman yang muda dan hampir masak itu musnah diancam kawanan kera dan beruk di Kampung Kuala medang, Lipis dekat sini.
Kumpulan haiwan liar itu daripada kawasan hutan berdekatan menceroboh kebun durian mulai sebelah pagi memenuhi dahan pokok dan memetik tangkai buah durian yang belum matang atau masak dan membiarkan gugur bersepah di tanah.
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh pemilik kebun itu untuk menjauhkan haiwan liar berkenaan untuk terus memusnahkan buah yang menunggu masa untuk gugur tapi haiwan itu tidak takut malah semakin lebih berani merosakkan ‘raja buah’ itu yang sedang lebat di dahan.
Pemilik kebun durian Kampung Kuala Medang, Mohamad Mohtar Mat, 63, berkata, kejadian itu kerap dihadapi setiap kali musim buah apabila kawanan kera termasuk beruk lebih daripada 100 ekor berkeliaran dan mula memanjat pokok serta merosakkan buah muda dan juga yang hampir masak di kebun itu.
“Pagi ini, saya tiba di kebun yang terletak lima kilometer dengan rumah amat terkejut apabila mendapati lebih 100 biji durian muda sebesar betis bersepah di bawah pokok.
“Ketika mendongak ke atas, saya mendapati kawanan kera dan beruk masih berani bertenggek di dahan, manakala yang lain lari masuk ke hutan apabila melihat kehadiran manusia,” katanya.
Menurut Mohamad Mohtar, sebanyak 32 batang pokok durian kampung ditanam di kawasan seluas 0.8 hektar sejak 30 tahun lalu telah mengeluarkan hasil sebelum ini dan dijual dengan harga antara RM6 hingga RM8 sekilogram
Katanya, mengikut perkiraannya dia sudah mengalami kerugian hampir RM5,000 apabila setiap hari anggaran kira-kira 100 biji buah (durian) muda itu dan hampir masak dirosakkan oleh haiwan liar dan gugur ke tanah.
“Saya berharap pihak berwajib datang memantau pergerakan beruk dan kera di samping tindakan menghalang pencerobohan di kebun ini sekurang-kurangnya baki buah yang ada di dahan dapat diselamatkan sehingga gugur dalam jangkaan bulan Julai ini,” katanya.
Seorang pekebun yang mengalami nasib yang sama, Abu Kassim Ismail, 65, menambah, sekiranya kawanan kera dan beruk ini masih menceroboh tanpa usaha menghalau atau mencegah daripada penguatkuasaan pihak berwajib bermakna pekebun di situ satu sen pun tidak dapat hasilnya nanti.
“Dahulu semasa beberapa tahun menikmati hasil, kami tidak berdepan gangguan kera dan beruk, tetapi sejak lima tahun lalu keadaan berubah apabila haiwan liar telah menceroboh ketika musim buah malahan semakin menjadi-jadi pula tahun ini.
“Saya tidak mampu bagaimana hendak bertindak, menghalau pun, binatang ini akan datang semula malahan pada masa yang sama pemilik kebun di sini berasa bimbang dengan ancaman sekiranya diserang haiwan liar ini,” katanya.
Katanya, sebagai warga emas yang tidak punca pendapatan lain, dia dan pekebun di situ juga cuma ingin menikmati hasil jualan durian yang dijangka gugur pada bulan penghujung bulan Julai ini.
“Sekiranya, ancaman haiwan liar ini berterusan, bermakna kami pekebun di sini berkemungkinan ‘gigit jari’ dan tidak dapat apa pun hasil setelah berpenat mengerahkan kudrat menjaga kebun ini,”katanya.-SAHIH.