KEPUTUSAN KES KEBUN DURIAN HARAM TANGGUH 23 DISEMBER
BERI LALUAN KEPADA KEDUA-DUA PIHAK SELESAIKAN KES PENGURUSAN
KUANTAN : Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini menangguhkan keputusan permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 110 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka pada 23 Disember ini.
Penangguhan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz bagi memberi laluan kepada kedua-dua pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva menyelesaikan pengurusan kes.
Choon Jern (kanan) dan Brendan (kiri) berbincang di lobi Kompleks Mahkamah Kuantan selepas Hakim menangguhkan keputusan kes, pada 23 Disember ini
Menurutnya, mahkamah juga perlu meneliti afidavit baharu yang dikemukakan pihak plaintif pada minggu lepas untuk menggunapakai keputusan yang sama terhadap satu lagi permohonan sama yang difailkan 94 lagi pekebun.
Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 204 pekebun memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Jabatan Perhutanan, kerajaan Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang, Royal Pahang Resources PKPP Sdn Bhd dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.
Pada prosiding hari ini, Choon Jern dan Brendan memaklumkan kepada mahkamah pihaknya telah menulis kepada Jabatan Peguam Negara satu persetujuan bahawa keputusan mahkamah bagi permohonan 110 plaintif terpakai untuk permohonan 94 yang lain.
Persetujuan itu dibuat oleh pihaknya dan peguam negara dan satu surat telah dikemukakan kepada pihak mahkamah bagi memaklumkan perkara tersebut.
Bagi tujuan pengurusan permohonan itu, mahkamah terpaksa menangguhkan keputusan pendengaran kes yang difailkan 110 pekebun terdahulu yang sepatutnya diputuskan hari ini.
Choon Jern turut memohon mahkamah melanjutkan tempoh penggantungan sementara notis pengosongan tanah tersebut sehingga Januari kerana sebilangan pekebun menerima notis sama daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) yang mengarahkan pengosongan dibuat selewat-lewatnya Januari 2021.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan ia tidak perlu dilanjutkan memandangkan tarikh keputusan ditetapkan Disember ini.
Antara 100 Ahli PVATM berhimpun beri skongan kepada institusi kehakiman dan kerajaan negeri di luar perkarangan mahkamah
Sementara itu, di pekarangan mahkamah lebih 100 ahli Pertubuhan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) berhimpun bagi memberikan sokongan terhadap institusi kehakiman dan kerajaan Pahang dalam isu pencerobohan tanah ini.