KEPULAUAN SOLOMON RANCANG HARAMKAN FACEBOOK
KEPULAUAN SOLOMON RANCANG HARAMKAN FACEBOOK
HONIARA: Kepulauan Solomon dilaporkan merancang untuk mengharamkan Facebook (FB) selepas mendapat kritikan keras di media sosial itu, sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan kumpulan hak asasi dan pemimpin pembangkang negara kepulauan Pasifik itu.
Sumber AFP menyatakan, Menteri Komunikasi, Peter Shanel Agovaka dilaporkan merancang mengharamkan sementara Facebook pada minggu ini dan perbincangan sedang dilakukan dengan penyedia perkhidmatan internet mengenai kaedah pelaksanaannya, lapor Solomon Times.
“Bahasa kasar terhadap menteri, perdana menteri (Manasseh Sogavare), pembunuhan karakter, fitnah karakter, semua ini adalah masalah yang menjadi perhatian,” katanya kepada akhbar itu.
Bagaimanapun, pejabat Sogavare tidak menjawab pertanyaan mengenai rancangan itu, yang mana pemimpin pembangkang, Matthew Wale berkata ia cuma menggambarkan penapisan tidak wajar.
“Media sosial terutamanya Facebook menjadi platform utama bertukar-tukar pandangan rakyat secara bebas. Tidak ada alasan yang cukup kukuh untuk menjamin larangan di Facebook dan media sosial pada masa ini.
“Rakyat dan setiap warganegara sangat penting bagi satu kerajaan yang bertanggungjawab,” kata Wale.
Facebook digunakan secara meluas di Kepulauan Solomon berpopulasi 700,000 orang yang tinggal berselerakan di pulau gunung berapi berbatu dan terumbu karang atol, sehingga menyukarkan komunikasi.
Sogavare kerap menggunakan platform berkenaan untuk menyebarkan mesej kerajaan termasuk mengemaskini hal kesihatan mengenai jangkitan COVID-19.
Sementara itu, Amnesty International menyifatkan campur tangan terhadap sumber maklumat terpenting ketika penularan pandemik global boleh mengancam nyawa, sekali gus menuntut kerajaan perlu segera memikirkan kembali strategi menghadapinya.
“Mengharamkan laman media sosial hanya kerana ada orang membuat komen yang tidak disukai pihak berkuasa adalah serangan terang-terangan dan tindakan keras terhadap hak asasi manusia,” kata penyelidik Amnesty Pasifik, Kate Schuetze.
Beliau mendakwa, jika rancangan itu diteruskan maka Kepulauan Solomon akan menyertai China, Korea Utara dan Iran sebagai negara yang mengharamkan Facebook.