KEPALA HARIMAU DALAM PETI SEJUK
KEPALA HARIMAU DALAM PETI SEJUK!
Cameron Highlands – Tidak hanya menyimpan makanan sejuk beku, sebuah kedai runcit di sini turut dijadikan tempat menyimpan kepala harimau kumbang yang telah dipenggal dalam satu serbuan mengejut pihak berkuasa, semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, penemuan mengejutkan itu adalah hasil daripada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 3/2025 Zon Timur/Zon Utara yang dijalankan sekitar jam 1.56 petang.
“Serbuan dilakukan selepas risikan mendapati kedai tersebut dipercayai terlibat dalam aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram. Hasil pemeriksaan, pihak kami menemui kepala harimau kumbang yang sudah dipenggal dan disimpan di dalam peti sejuk,” katanya.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama pegawai Perhilitan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang, dan Ranjer Komuniti bagi membanteras pemburuan serta penyeludupan haiwan liar yang semakin berleluasa.
Menurutnya, harimau kumbang merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dan sebarang pemilikan, penjualan atau pemburuan haiwan ini adalah satu kesalahan serius.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti dari mana kepala harimau ini diperoleh dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket perdagangan hidupan liar antarabangsa,” ujarnya.
Tambahnya, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang.
Kes disiasat di bawah Akta 716 dan individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Setakat ini, pemilik kedai runcit berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.-SAHIH