Kepala Air , Jambatan di Pos Sinderut Tertimbus
Kepala Air , Jambatan di Pos Sinderut Tertimbus
LIPIS – Hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan kejadian kepala air di Kampung Orang Asli Pos Sinderut, di sini malam tadi, sehingga menghanyutkan kayu balak reput dan sisa kayu yang menutup laluan utama serta sebuah jambatan di kawasan itu.
Arus deras turut membawa lumpur ke kawasan rumah penduduk yang terletak di pesisir anak sungai berdekatan Jambatan Kampung Tual.
Penduduk, Bah Juman, 50, berkata kejadian berlaku ketika mereka sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat berhampiran jambatan.
“Saya suluh lampu dan terkejut melihat kayu balak dan sisa kayu sudah menimbun di atas jambatan. Air deras membawa kayu besar yang tersangkut di bawah rumah kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Bah Johari, 45, berkata ini adalah kejadian pertama seumpamanya di kawasan itu dan mereka terputus hubungan kerana talian komunikasi turut terjejas.
Kejadian itu turut menutup laluan masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut, klinik, dan beberapa kampung berhampiran. – SAHIH