KENDURI SEKAMPUNG FELDA JENGKA 24 MERIAH, 1,500 HADIR
KENDURI SEKAMPUNG FELDA JENGKA 24 MERIAH, 1,500 HADIR
JERANTUT – Program Majlis Kenduri Sekampung Felda Jengka 24 yang berlangsung di Masjid Assobirin, Felda Jengka 24 hari ini berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran dianggarkan antara 1,000 hingga 1,500 penduduk.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, kejayaan program itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pengurusan Felda, ketua-ketua blok lelaki dan wanita serta pelbagai jawatankuasa komuniti yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan.

Hj Razak Daud – Ketua Peneroka Felda Jengka 24
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah menjadi platform menyemarakkan semangat kekitaan serta budaya gotong-royong yang semakin jarang dilihat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Pengurus dan kakitangan Felda Jengka 24, ketua-ketua blok, JKKR, GPW, MBFM, KAF, badan masjid, badan khairat kematian, koperasi, ahli blok, anak-anak Felda dan seluruh warga Felda Jengka 24.

“Hari ini program kenduri sekampung telah berjalan dengan begitu baik dan lancar. Kepada yang menyumbang, saya ucapkan jutaan terima kasih. Begitu juga kepada semua yang bertungkus-lumus membuat persiapan, bergotong-royong memasak serta menyediakan makanan dan minuman,” katanya ketika dihubungi SAHIH semalam .
Razak berkata, program itu turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu 5A ke atas.

Selain itu, kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah turut menerima duit raya sebagai tanda penghargaan dan kegembiraan sempena majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang program berlangsung. – SAHIH
