KEMPEN SEHARI DERMA DARAH DAPAT SAMBUTAN
DERMA DARAH BOLEH MEMBANTU DAN MENYELAMATKAN ORANG LAIN YANG MEMERLUKAN
JERANTUT: Tabung Darah, Jabatan Patologi, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh mendapat sambutan baik semasa kempen sehari derma darah yang diadakan di Dewan Banquet, Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
Seramai kira-kira 40 orang penderma daripada kira-kira 60 orang berjaya melepasi pemeriksaan kesihatan dan layak untuk menderma darah sebanyak 300 mililiter (ml) bagi wanita dan 450 ml bagi lelaki serta bergantung kepada berat badan seseorang itu.
Pegawai Perubatan, Dr. Adilah Ahmad Zafri berkata, kempen derma darah dari jabatannya bergerak antara 10 hingga 15 lokasi sebulan di kawasan Pahang Barat untuk mendapat penderma darah bagi menampung keperluan bekalan darah untuk digunakan di HOSHAS dan hospital kluster seperti Hospital Jerantut dan Jengka.
Katanya, sekiranya ada bekalan lebihan dan keperluan permintaan mendesak dari hospital lain, HOSHAS turut membekalkannya.
Penderma, Syafid Iskandar Yusri, 23 berkata, dia sudah menderma sebanyak enam kali dan mengambil peluang kalau dia tahu ada kempen menderma darah serta menjadikan sebagai satu sumbangan kepada yang memerlukan bekalan darah.
“Semasa wabak Covid-19 melanda, pastinya pihak hospital memerlukan bekalan darah, oleh itu sumbangan kecil seperti ini dapat menyelamatkan orang lain, kita tidak perlu ke hospital untuk menderma dan kemudahan daripada kempen ini memberi banyak kemudahan, ” katanya.
Seorang penderma, Cheh Yoke Foong,38, berkata, selain menderma untuk menyelamatkan nyawa orang lain yang memerlukan, selepas menderma dia berasakan dirinya selesa dan sihat.
“Kita jangan berkira, hari ini kita bantu orang lain, di hari lain orang bakal membantu kita, apa salahnya kita sebagai rakyat Malaysia memberi sumbangan kecil seperti ini,”katanya.