Kempen bermula, Amizar dekati golongan muda Kemasul
Kempen bermula, Amizar dekati golongan muda Kemasul
BENTONG – Sebaik selesai penamaan calon bagi N36 Pelangai semalam, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam mula turun padang menyantuni penduduk dan pengundi di kawasan itu.
Walaupun dengan jadual kempen yang padat, Amizar tetap meluangkan masa bertemu golongan muda dan belia untuk memahami keperluan mereka.
“Ini adalah hari pertama kempen dan banyak lagi sesi bersemuka dengan golongan muda dan belia akan diatur.
“Saya cuba untuk memahami apa kehendak mereka, harapan mereka terhadap kawasan Pelangai yang sangat berpotensi ini.
“Kebanyakan golongan muda ini memiliki kemampuan untuk menilai apa yang terbaik untuk mereka dan saya akan menjadi pemudah cara bagi memastikan impian mereka ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Amizar meluangkan masa hingga lewat malam tadi untuk bersantai dengan anak muda di sekitar FELDA Kemasul.
Terdapat tiga tanah rancangan FELDA dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Pelangai.
Amizar adalah anak jati FELDA Chemomoi dan sudah lama melakukan kerja di kawasan Pelangai melalui NGO Kami Anak FELDA (KAF).
Selain FELDA Kemasul, dua lagi FELDA adalah Chemomoi dan Kemahal.
Semalam, proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Amizar akan dicabar calon Perikatan Nasional, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Kerusi DUN Pelangai adalah antara kubu kuat BN sejak tahun 1986.-SAHIH