KEMAS anjur kursus TVET untuk B40
KEMAS anjur kursus TVET untuk B40
GENTING HIGHLANDS – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah selenggaraan KEMAS akan memberikan peluang kepada golongan B40 untuk menjalani latihan TVET sekali gus mampu menambah pendapatan keluarga.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta untuk Program TVET tahun ini.
“Kemas akan berperanan mengatur program ini untuk golongan B40 merangkumi bimbingan, kursus serta kita juga akan menanggung biasiswa untuk peserta kategori ini yang berpendapatan rendah mengikuti kursus dalam industri tekstil dan fesyen.
“Kursus ini akan dilaksanakan di Akademi Kemahiran Kemas Seri Iskandar Perak dan sehingga ini telahpun melahirkan seramai 1,414 individu yang memiliki diploma bidang tersebut yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian. Sumber Manusia dikhtiraf sejak 2007.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kemas Pahang di Genting Highlands hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan, Rafea’ah Mohd Nahar dan Pengarah Kemas Pahang, Zainal Abidin Ali.
Katanya, KPLB sudah mengenalpasti industri tekstil dan fesyen mempunyai potensi besar di Malaysia dan selari dengan hasrat tersebut, Kemas akan membuka tawaran kepada penduduk berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berminat untuk mengikuti pengajian peringkat sijil dan diploma dalam bidang pembuatan pakaian wanita dan pentadbiran fesyen.
“Kerajaan memberikan peluang serta kemudahan bidang ini secara lebih sempurna dan profesional dengan pengikhtirafan sijil dan diploma berbanding sebelum ini cuma peserta kelas jahitan yang dilaksanakan oleh Kemas di kampung yang belajar menjahit langsir, baju kurung, sarung bantal dan sebagainya.
“Sehingga ini sebanyak 279 buah institusi di bawah KPLB memberikan peluang penduduk khususnya belia berkenaan untuk melanjutkan pengajian pelbagai bidang kurikulum TVET,” katanya.-SAHIH.