KEMALANGAN MAUT DI KM3, JALAN BENTONG-RAUB
PEMANDU TRELER POSITIF DADAH
BENTONG: Kemalangan jalan raya yang melibatkan empat kereta dan sebuah treler turut meragut nyawa pemandu sebuah kereta dalam kejadian itu di Kilometer (KM) 3, Jalan Bentong-Raub, kira-kira jam 1.30 tengahari, hari ini.
Treler yang dipandu oleh seorang pemandu warga tempatan berusia 40 tahun dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta Proton Wira di hadapannya, treler tersebut terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi.
Kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh Puganeswari A/P Suppiah, 42 yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya berusia 11 tahun terselamat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati pemandu treler itu yang datang dari arah Raub ke Bentong didapati positif dadah jenis Methamphetamine melalui ujian awal air kencing.
“Mangsa yang tersepit itu berjaya dikeluarkan oleh anggota Bomba dan Penyelamat Bentong, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat, kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) APJ 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952.
“Diharap semua pengguna jalan raya perlu berhemah , selain itu sering hormat-menghormati sesama pengguna jalan raya serta mengamalkan pemanduan yang cermat dan mematuhi arahan lalulintas,”katanya.