KELUARKAN SIJIL DIGITAL UJIAN COVID-19
KELUARKAN SIJIL DIGITAL UJIAN COVID-19
SINGAPURA: Mulai 10 Mac ini, individu yang berhasrat untuk mengembara keluar dari Singapura perlu memperoleh versi digital hasil ujian COVID-19 terlebih dulu.
Salinan digital itu boleh ditunjukkan kepada kastam dan pegawai penerbangan bagi pengesahan melalui standard pensijilan baharu yang dibangunkan kerajaan, dikenali sebagai HealthCerts.
Dibangunkan berdasarkan teknologi blockchain, HealthCerts akan mempercepatkan proses daftar masuk dan kastam di pusat pemeriksaan imigresen di sini atau luar negara.
Perkara itu dimaklumkan oleh pengendalinya, Smart Nation and Digital Government Office (SNDGO), dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, masih kabur sama ada pihak Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) bersedia menerima sistem itu berkuatkuasa 10 Mac ini.
Dalam pada itu, persoalan sama ada pengembara perlu mengemukakan bukti ujian COVID-19 sebelum berlepas sedang hangat diperdebatkan seluruh dunia berikutan masih ada negara meneliti untuk membuka pintu sempadan antarabangsa, lapor Agensi.
Melalui sistem baharu itu, individu yang bakal mengembara dan mengambil ujian saringan COVID-19 di klinik berdaftar akan menerima keputusan dalam bentuk dokumen digital.
Mereka kemudian perlu memuat naik dokumen itu di laman sesawang kerajaan bagi proses kelulusan.
Sejurus langkah itu selesai, mereka akan menerima sijil digital COVID-19 yang mengandungi kod QR melalui e-mel atau menerusi aplikasi telefon pintar iaitu SingPass.
Sijil digital itu akan turut diiktiraf di luar negara kerana ia dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Menteri Luar yang juga bertanggungjawab terhadap inisiatif itu, Vivian Balakrishnan, memberitahu Parlimen bahawa pihak berkuasa berharap HealthCerts boleh diperluaskan untuk mengesahkan sijil vaksinasi pada masa akan datang.