KELUARGA NAHAS TAHU MELALUI WHATSAPP
KELUARGA NAHAS HELIKOPTER TAHU MELALUI WHATSAPP
KUALA LUMPUR: Keluarga kepada mangsa nahas helikopter di Taman Melawati, Ampang, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, mendapat perkhabaran sedih melibatkan anak keempat daripada 10 beradik itu melalui kumpulan WhatsApp.
Abang sulung mangsa, Dr Mohd Izani Mohd Rawi, berkata dia terus menghubungi pengirim WhatsApp berkenaan sekitar jam 12 tengah hari, kerana seakan-akan mengenali susuk tubuh mangsa terlibat kemalangan itu.
“Dalam gambar (yang dikongsi) itu, saya cam tangan dan jam dia… mak ayah sudah maklum akan kejadian ini dan dua orang adik saya dalam perjalanan.
“Setakat ini kita tak tahu sama ada (jenazah) akan dihantar ke sini atau tidak, belum ada maklumat rasmi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua helikopter yang dipercayai bertembung di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari tadi di Taman Melawati, Ampang Selangor.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohamed Sabri Baharom, 56, beralamat di Wangsa Melawati, dan Mohd Irfan Fikri, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
– Bernama