KELUARGA AZMIN DIPANGGIL POLIS SUSULAN DAKWAAN LANGGAR SOP ZIARAH RAYA
KELUARGA AZMIN DIPANGGIL POLIS SUSULAN DAKWAAN LANGGAR SOP ZIARAH RAYA
PUTRAJAYA – Polis akan memanggil Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta ahli keluarga bagi memberi keterangan berhubung dakwaan ziarah Hari Raya pada 1 Syawal lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, beberapa individu lain juga akan dipanggil bagi memberi keterangan yang sama.
Beliau berkata, antara yang akan dipanggil adalah anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman Mohamed Azmin, pemilik akaun facebook Ummi Hafilda Ali dan saksi-saksi yang lain.
“Semalam, kira-kira pukul 3 petang, kami menerima satu laporan lolis diterima berhubung hantaran dalam Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen.
“Hantaran Facebook yang tular itu adalah berhubung dakwaan ahli keluarga Mohamed Azmin yang merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang mana kesalahan melanggar SOP PKP di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.
“Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lalu lebih kurang pukul 8 pagi, di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No. 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10, di sini,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut.
Mohd. Fadzil berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi bagi membantu siasatan, lapor KOSMO online.
“Anggota yang bertugas di kediaman itu mengesahkan tiada pergerakan keluar masuk tetamu pada tarikh 13 Mei lalu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang telah tular di media sosial,” katanya.
Katanya, pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.