Keluarga asnaf terubat dapat bantuan sebelum sambut raya
Foto atas: Imam Masjid Bukit Pasir, Zakariah Ahmad (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil keluarga penerima.
Keluarga asnaf terubat dapat bantuan sebelum sambut raya
BATU PAHAT- Keresahan hati keluarga dalam kalangan asnaf, anak yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang serba kekurangan untuk membuat persediaan menyambut Aidilfitri baru-baru ini terubat.
Bergabung dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), UMNO Cawangan Jorak Elahi dan Tasek Merdeka, 180 bungkusan barangan makanan keperluan asas menyambut Syawal telah diagihkan kepada keluarga terbabit beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.
Penyelaras program yang juga Ketua Kampung Parit Jorak Elahi, Hamidi Mat Tap, berkata penerima sumbangan itu adalah mereka yang menetap di kampung induk iaitu Kampung Jorak Elahi dan kampung rangkaian Tasek Merdeka.
Menurutnya, berikutan infak barangan yang banyak, agihan barangan makanan keperluan asas itu diperluaskan kepada beberapa keluarga dalam kalangan berkenaan di kampung berdekatan seperti ke Kampung Parit Bilal, Parit Ahmat, Parit Shabaan, Bukit Pasir, Parit Kangkong, Linau Kecil dan Linau Besar.
Jelasnya, daripada 180 penerima sumbangan itu termasuklah 20 anak yatim dan OKU yang perlu dibantu bagi membuat persediaan menyambut Aidilfitri walaupun barangan yang diberikan itu tidak seberapa namun paling penting dapat menggembirakan hati mereka.
“Sekurang-kurangnya sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan daripada kami dan juga NGO terbabit seperti Suara Anak Muda (SAM) dan Happy Care Batu Pahat yang sentiasa bersedia membantu mereka yang serba kekurangan dan berasakan nasib mereka diambil peduli untuk dibantu.
“Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Mohd Puad Zarkashi, timbalannya Zaidi Japar dan beberapa individu seperti Rope Subaru, Syed Mohsein, Esa Md Abas, Mohd Khairul Fauzi dan Brother Panjang antara yang menghulurkan sumbangan wang dan barangan untuk diagihkan kepada keluarga terbabit.
“Manakala dua syarikat iaitu Mapel Tricot Industries Sdn Bhd di Tongkang Pechah dan Linaco Manufacturing Sdn Bhd di Kampung Kelicap, Senggaran turut menyumbangkan pelbagai barangan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” kata Hamidi.
Majlis ringkas agihan sumbangan itu berlangsung di Balai Raya Kampung Jorak Elahi dan disempurnakan oleh Zaidi bersama beberapa tetamu jemputan.
Hamidi berkata, sebagai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor beliau akan terus memainkan peranan penting untuk membela nasib penduduk yang kekurangan dan bukan setakat ketika menyambut Aidilfitri sahaja.
Menurutnya, bukan niat mencari publisiti tetapi berasakan amat bersyukur apabila setiap aduan atau rintihan penduduk itu dapat dipanjangkan kepada pihak terbabit untuk diambil tindakan termasuklah kepada mereka daripada dalam kalangan orang poltik.
“Sepanjang tempoh negara dilanda pandemik Covid-19 yang serius hingga sekarang mereka terkesan dengan wabak ini termasuk dikenakan kuarantin di rumah saya bersama-sama NGO tetap turun padang menghulurkan bantuan khusus mengagihkan barangan makanan keperluan harian,” katanya. -SAHIH.