KELUARGA ARWAH LOQMAN UCAP TERIMA KASIH
TURUT MERAKAMKAN UCAPAN TERIMA KASIH KEPADA YANG DIPERTUAN AGONG YANG TURUT SERTA DALAM OPERASI MENCARI
TEMERLOH : Keluarga arwah Loqman Hamka, 20, yang terjatuh ke dalam Sungai Pahang pada 27 November lalu dan mayatnya ditemui di tepi sungai dekat Jeti Laman Lesung, Batu Papan, Bera melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Bapanya, Hamka Abu Bakar (61), turut melahirkan terima kasih kepada Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Mahkota Pahang serta anakanda baginda yang turut mencemar duli turut serta dalam operasi tersebut.
“Saya tidak lupa kepada pihak pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Temerloh, Angkatan Tentera Laut Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).
“Berterima kasih juga kepada penduduk dan nelayan sungai yang tidak putus-putus mencurahkan keringat berpanas dan berhujan dalam usaha mencari anak saya yang hilang sehingga ditemui pada hari kedua belas,” katanya.
Katanya, tidak lupa kepada Ustaz Ebit Liew, saudara-mara, sahabat handai serta orang ramai yang memberi sumbangan dan semangat serta mendoakan agar jasad anaknya ditemui.
“Terima kasih kepada kenamaan tempatan yang turut memberi semangat kepada keluarga saya, saya redha dengan pemergian anak bongsu saya, Allah lebih menyayanginya,” katanya.
Jenazah Loqman dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Buntut Pulau, pada jam 2.30 petang semalam.