KELONGGARAN SOP FASA 1 UNTUK INDUSTRI KREATIF
KELONGGARAN SOP FASA 1 UNTUK INDUSTRI KREATIF
Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Khamis lalu bersetuju melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja.
Kelonggaran itu melegakan lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif, tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri yang telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.
“Industri kreatif menyumbang sebanyak 2% atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019, selain lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Sekali gus menggerakkan kembali semua program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),” katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, mulai 9 September 2021, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi aktiviti-aktiviti seperti yang ditetapkan.
1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin.
4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin.
5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin.
6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.
7. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
8. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.
Katanya, keputusan ini adalah antara usaha-usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.
“Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.
“InsyaAllah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. –SAHIH.