Kelab Pendaki Pahang ditubuhkan, titah Sultan Pahang
Kelab Pendaki Pahang ditubuhkan, titah Sultan Pahang
RAUB – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar sebuah kelab mendaki ditubuhkan di negeri ini.
Titah baginda, kelab yang dinamakan Kelab Pendaki Pahang (KPP) itu ditubuhkan bertujuan untuk menjadikan gunung di negeri ini sebagai kawasan kajian dan aset pelancongan.
“Dalam pada itu saya juga berharap berkaitan dengan ucapan YB Fadzli (Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal) , saya telah menyaran untuk menubuhkan kelab mendaki.
“Tujuan kelab mendaki ini bukan sahaja nak mendaki Gunung Everest, kalau boleh kita kaji, kita tengok gunung-gunung di Pahang, jadikan itu sebagai satu aset pelancongan eko-tourism ke, sport – tourism ke, sebagai satu aset yang boleh kita popularkan.
“Mungkin ini secara tidak langsung boleh mempopularkan tourism tempatan, kawasan Gunung Tahan, Gunung Brinchang, dan lain-lain,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelepasan Kontinjen Ekspedisi Everest Base Camp Sempena Memuliakan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Fraser’s Hall, Jalan Genting, Bukit Fraser di Pahang.
Titah baginda, penubuhan kelab mendaki itu juga dapat menjadi satu daya tarikan kepada pelancong untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi pelancongan.
“Penubuhan kelab ini boleh jadi satu tarikan dan saya harap ia dapat dikaji dan saya percaya kalau dibuat sebaik mungkin sedikit sebanyak ia dapat jadi tarikan kepada Negeri Pahang,” titahnya.
Seramai 45 peserta menyertai ekspedisi berkenaan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Negeri Pahang, Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, dan media Negeri Pahang.
Kesemua peserta termasuk 10 wanita akan memulakan pendakian selama 16 hari bermula 9 sehingga 25 September.
Pendaki dijangka akan tiba di Everest Base Camp di ketinggian 5,365 meter dari aras laut pada 16 September 2024, sekali gus dijadualkan meraikan sambutan Hari Malaysia di sana.-SAHIH