Kelab Kebajikan Kasih Ihsan ringankan beban golongan memerlukan
Foto : Ramlan Mohamad Hassan (kanan) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada seorang asnaf.
Kelab Kebajikan Kasih Ihsan ringankan beban golongan memerlukan
SEMENYIH – Lebih 1,500 ahli Kelab Kebajikan Kasih Ihsan Malaysia berganding bahu menyalurkan sumbangan bulanan RM10 seorang bagi menjayakan program kebajikan membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Pengerusinya, Ramlan Mohamad Hassan, berkata inisiatif itu membolehkan kelab aktif melaksanakan pelbagai program termasuk agihan bakul makanan, bantuan kepada rumah anak yatim, warga emas, pesakit terlantar serta mangsa bencana alam.
Menurutnya, kelab yang ditubuhkan lima tahun lalu turut menerima kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengumpul dana dan barangan keperluan asas.
“Setiap program dijalankan selepas berbincang dengan komuniti terbabit bagi mengenal pasti keperluan sebenar agar bantuan dimanfaatkan sepenuhnya dan mengelakkan pembaziran
“Pada program itu, seramai 50 asnaf dalam qariah masjid berkenaan menerima bakul makanan bernilai RM100 mengandungi beras, gula, tepung gandum dan keperluan asas lain,” .,” katanya selepas program agihan bakul makanan di Masjid Kampung Rinching Hulu, dekat sini, baru-baru ini.
Ramlan berkata, kelab berusaha memperluaskan program ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak melalui rangkaian ahlinya yang aktif di pelbagai lokasi.
“Selain agihan bakul makanan, kelab juga menganjurkan Iftar Ramadan bersama pusat tahfiz serta menyediakan barangan elektrik kepada rumah anak yatim dan keluarga miskin bagi menambah keselesaan mereka.
“Kelab berharap usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang ditimpa kesusahan,” katanya. – SAHIH.