KEKERAPAN BEKALAN AIR TERPUTUS MERESAHKAN PENDUDUK FELDA SUNGAI RETANG
KEKERAPAN BEKALAN AIR TERPUTUS MERESAHKAN PENDUDUK FELDA SUNGAI RETANG
JERANTUT: Kira-kira 500 keluarga di Felda Sungai Retang daerah ini berhadapan kekerapan kesukaran terputus bekalan air yang kritikal sejak seminggu ini dan merayu agar isu ini diselesaikan segera.
Punca berlaku terputus bekalan air dipercayai masalah yang berlaku di loji air menyebabkan penduduk di Felda tersebut kerap terputus bekalan air bersih.
Seorang penduduk di Jalan Sia, Mohd Nazri Salleh berkata, masalah ini kerap berlaku setiap kali musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, bekalan berkenaan terputus dan menyusahkan penduduk terutama kawasan rumah yang terletak di kawasan agak tinggi.
“Selain itu dipercayai loji tersebut tidak dapat menyedut air kerana dipenuhi lumpur dan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menghantar bekalan air bersih khusus di kawasan yang terjejas teruk.
“Kebelakangan ini, hampir setiap hari pihak PAIP menghantar bekalan air dengan lori tangki ke sini, tapi sampai bila masalah ini harus berlarutan”katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, dia dan keluarga turut kecewa setiap kali musim perayaan bersama penduduk di sini yang terputus bekalan sehingga mengganggu aktiviti harian termasuk persiapan sambutan berhari raya.
Seorang penduduk di Jalan Seluang, Mohd Fikri Ibrahim (31) berkata, kalau sebelum ini apabila setiap kali sambutan hari raya penduduk di sini sudah menjangka akan berlaku bekalan air terputus sejak beberapa tahun lalu dipercayai sanak saudara balik kampung beraya.
“Sambutan hari raya kali ini, walaupun sanak saudara tidak balik beraya, masih berlaku putus bekalan air.
“Malah ada penduduk sudah menyediakan lebih sebuah tangki besar di rumah masing-masing untuk menadah air terutama di waktu malam untuk kegunaan harian,”katanya.
Katanya, walaupun disediakan bekalan yang dihantar oleh PAIP, namun kesukaran terpaksa ditempuh oleh penduduk di sini khususnya warga emas untuk memunggah air ke rumah masing-masing.-SAHIH.