Kejohanan Boling erat ukhuwah sukarelawan dan kakitangan PJNH
Foto : Kakitangan PJNH dan sukarelawan NGO merakamkan kenangan selepas selesai berentap pada Kejohanan Boling Amal PJNH 2025, di Kajang, Selangor.
Kejohanan Boling erat ukhuwah sukarelawan dan kakitangan PJNH
KAJANG – Kejohanan Boling Amal anjuran Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor menjadi simbolik kepada usaha mengeratkan ukhuwah antara kakitangan dan sukarelawan yang banyak membantu dalam mengurus serta menyantuni penghuni warga emas.
Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat, berkata program tahunan yang dianjurkan sejak beberapa tahun lalu itu amat bermakna kerana ia menghargai jasa sukarelawan yang sentiasa menyumbang tenaga tanpa jemu.

Mohd Azuan Wan Hassan (tengah) bersama ahli pasukan PJNH yang memberi saingan sengit pada kejohanan itu.
“Bagi sesetengah orang kejohanan ini mungkin kecil, tetapi bagi kami yang setiap hari berdepan pelbagai cabaran mengurus warga emas, ia sangat besar maknanya. Ia ruang menyantuni sukarelawan dan kakitangan yang sentiasa bersama kami,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Boling Amal PJNH 2025 di sini.
“Ada sukarelawan yang mewakili NGO turut membawa pelbagai pihak datang melihat sendiri pengurusan warga emas di PJNH tanpa dikenakan bayaran. Malah, usaha mereka berjaya menarik lebih banyak NGO dan organisasi lain mengadakan aktiviti di pusat jagaan itu sambil menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas.,” katanya.
Katanya, ikatan ukhuwah ini perlu terus dieratkan dan menjadi contoh apabila kakitangan serta sukarelawan berganding bahu menyantuni warga emas seperti bapa sendiri.
Pada kejohanan itu, Pertubuhan Sukarelawan Kasih (Kasih) dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) masing-masing menghantar tiga pasukan, PJNH empat pasukan manakala Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) satu pasukan.
Sementara itu, Pengerusi Kasih, Mohd Nazri Abdul Latif berkata, penyertaan pihaknya dalam kejohanan berkenaan memberi peluang ahli mendekati pengurusan PJNH dengan lebih rapat.
“Kalah atau menang diketepikan, yang penting, kami dapat beramah mesra dengan NGO lain sambil berbincang usaha berterusan membantu PJNH yang sangat memerlukan sokongan,” katanya.
Bagi kakitangan PJNH, Mohd Azuan Wan Hassan, kejohanan tersebut juga mengukuhkan hubungan kakitangan dengan NGO yang menjadi tulang belakang kepada usaha menguar-uarkan kewujudan PJNH kepada masyarakat serta mengumpul dana.
“Peranan mereka sangat membantu meringankan kos operasi supaya warga emas terus disantuni dengan sempurna,” katanya.-SAHIH.