Kejadian tanah runtuh, dua buah kenderaan tertimbus dan rosak di Brinchang
Kejadian tanah runtuh, dua buah kenderaan tertimbus dan rosak di Brinchang
Foto atas: Anggota APM dan JKR memotong dan membersihkan laluan untuk mengeluarkan kenderaan yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Brinchang, Cameron Highlands, malam tadi.
CAMERON HIGHLANDS – Hujan lebat berterusan beberapa jam mengakibatkan satu kejadian tanah runtuh membabitkan kerosakan dua buah kenderaan berlaku di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pada jam 11.30 malam semalam berdekatan bengkel kenderaan di situ tidak melibatkan kecederaan penduduk dan kerosakan premis.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APAM) Cameron Highlands, Md Hazli Hanifah Mohd Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian berkenaan pada pukul 12.50 pagi dan anggota terus bergegas ke lokasi tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar, Brinchang.
“Anggota APAM terus melaksanakan operasi memotong pokok yang tumbang serta mengalihkan runtuhan bagi mengeluarkan kenderaan yang terperangkap di bawah runtuhan.
“Bagaimanapun tiada mangsa di lokasi kerana kenderaan terlibat sedang dibaiki oleh bengkel berkenaan. Kes ini diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Katanya, operasi di tempat kejadian juga melibatkan anggota bomba dan penyelamat, Polis di Raja Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.-SAHIH.