Kejadian bot karam anggota Adiwira Prihatin Musibah perlu bot baru
Kejadian bot karam anggota Adiwira Prihatin Musibah perlu bot baharu
KUALA TAHAN – Tiga anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) tidak patah semangat untuk terus berbakti kepada komuniti walaupun menghadapi detik sukar ketika menjalankan tugasan menghantar bantuan makanan untuk penduduk Orang Asli di Kampung Aur, dekat sini, kelmarin.
Kejadian itu nyaris meragut nyawa mereka selepas bot yang mereka naiki karam di di Jeram Panjang dan turut menghanyutkan mereka.
Tiga sukarelawan itu Roslan Abu Kassim, 58, Ahmad Turmizi Abu Kassim, 52, yang memandu bot penambang, manakala seorang lagi rakan, Belandak a/l Bajak, 28, merupakan Orang Asli etnik Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan terselamat.
Pengarah APM Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kejadian bot karam yang digunakan oleh tiga orang anggota APM dipukul ombak sehingga karam dan dihanyutkan air deras mengejutkan komuniti APM sendiri.
“Namun, kecekapan dan pengalaman yang ada pada ketiga-tiga anggota ini menyuntik semangat anggota lain dan dianggap sebagai Adiwira Prihatin Musibah.
“Anggota APM ini telah menjalankan tugasan memberi bantuan sejak lama lagi, terutama ketika berlaku banjir baru-baru ini,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kuala Tahan bertemu anggota terbabit.
Katanya, mereka mempunyai latihan pengetahuan asas dari aspek menghadapi bencana dan kecemasan.
“Pengalaman dan pengetahuan itu turut membantu mereka dalam penyelamatan diri ketika menghadapi detik sukar bot karam.
“Diharap tiga anggota ini tidak patah semangat termasuk anggota lain di Kuala Tahan di seluruh Malaysia, khususnya di Pahang,” katanya.
Katanya, pihak APM terima kasih kepada anggota terbabit dan terus menyemarakkan lagi semangat semua anggota memberi khidmat bantu kepada masyarakat setempat.
“Insya Allah, pihak kami cuba membantu mendapatkan sebuah bot baharu dan kelengkapan untuk mereka dengan segera, dimaklumkan bot amat diperlukan ketika ini untuk misi menyelamat, penghantaran makanan dan juga mengangkut murid asli ke sekolah yang bakal dibuka minggu hadapan,” katanya.-SAHIH.