KEGIATAN CAMPUR BALAK CURI DITUMPASKAN
SINDIKET DIKESAN AKTIF DI HUTAN SIMPAN CHINI
BERA: Satu sindiket mencampurkan 280 tual balak curi bernilai kira-kira RM112,000 dengan balak berlesen dikesan berlaku di Hutan Simpan Chini, di sini kelmarin.
Tindakan yang didalangi warga tempatan itu dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa itu, bagaimanapun digagalkan oleh anggota Unit Tugas Khas Pejabat Hutan Daerah Temerloh/Bera dalam serbuan di Kompatmen 132 Hutan Simpan Chini kira-kira jam 10 malam.
Pegawai Pejabat Daerah Temerloh/Bera, Azmi Abdul Rahman, berkata sindiket terbabit turut menyekat dua laluan utama ke lokasi itu dengan meletakkan jentera, membina parit dan membuat halangan dengan timbunan dahan pokok.
Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui 70 tunggul pokok balak pelbagai spesies seperti merantai, merawan, kempas, jelutong, mengkulang, keruing, keranji, sesuduk, ludai, kelat dan kedondong dengan setiap pokok menghasilkan antara tiga hingga empat tual balak.
“Siasatan mendapati sindiket terbabit menceroboh Hutan Simpan Chini, menebang dan memindahkan balak ke pusat pengumpulan dalam masa dua hari sebelum kegiatan mereka dikesan kelmarin.
“Mereka cuba bertindak memindahkan balak secara serentak menggunakan lebih 10 lori malam kelmarin namun digagalkan,” katanya dihubungi BH Online.
Azmi berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita jentera pengangkat balak, jentolak, jengkaut dan dua lori yang kini ditempatkan di stor penyimpanan barangan kes Pejabat Ladang Kemasul, Mentakab.
Azmi berkata, usaha mengesan dalang kegiatan berkenaan sedang dilakukan, pihak yang melakukan kesalahan itu akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.