Kedai Roti Canai, kedai minum musnah terbakar, pemilik bersyukur anak selamat
Foto : Dua buah kedai hangus, manakala tiga lagi turut terjejas dalam kebakaran di Batu 2, Jalan jerantut-Benta, pagi semalam.
Kedai Roti Canai, kedai minum musnah terbakar, pemilik bersyukur anak selamat
JERANTUT : Seorang pemilik kedai roti canai di bandar ini berdepan detik cemas apabila premis perniagaannya musnah dalam kebakaran, namun bersyukur anak bongsu lelakinya yang berusia lima tahun selamat dalam kejadian yang berlaku di Batu Dua, Jalan Jerantut-Benta terbakar dalam kejadian itu, pagi semalam.
Manakala, seorang warga emas berusia 84 tahun juga sempat menyelamatkan diri melalui pintu belakang selepas menyedari api marak di bahagian hadapan kedai dalam kejadian kira-kira jam 7.12 pagi semalam.
Pemilik kedai roti canai berkenaan, Mustaz Ibrahim, 37, berkata dia baru sahaja membuka kedai pada jam 7.00 pagi dan mula memanaskan kuali sebelum keluar sebentar menghantar tiga anaknya ke sekolah rendah dan seorang ke sekolah menengah berhampiran.
“Kira-kira 12 minit kemudian, jiran kedai saya menelefon memaklumkan kedai saya terbakar, saya bergegas pulang dan perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari anak bongsu saya.
“Alhamdulillah, dia selamat kerana sempat melarikan diri melalui bahagian belakang kedai,” katanya.
Menurut Mustaz, pekerjanya memaklumkan api dipercayai bermula dari tong gas sebelum merebak pantas dan memusnahkan keseluruhan kedai.
Sementara itu, pemilik kedai minuman bersebelahan, Faridah Awang, 60, berkata beliau hanya sempat menyelamatkan beg duit ketika premisnya turut terbakar.
“Ketika itu memang panik, ada beberapa pelanggan di kedai saya, tetapi semuanya bingkas lari menyelamatkan diri.
“Emak saya, Halimah Idris, 84, yang berada di bilik air juga nyaris terperangkap tetapi sempat melarikan diri melalui bahagian belakang,” katanya.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata, sederet lima buah rumah kedai separuh kekal terbakar tetapi tiada kemalangan jiwa berlaku.
“Seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut dan turut dibantu BBP Kuala Krau berjaya memadamkan kebakaran itu.
“Dua unit kedai hangus terbakar, manakala tiga lagi rosak kira-kira 50 peratus dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-SAHIH.