Kedai Makan Digenangi Banjir ‘Air Termenung’ 3 Hari, Cik Su Akhirnya Dibantu 20 Sukarelawan
Foto : Sukarelawan membersih perkakas dan bahagian dalam dapur yang dipenuhi lumpur.
Kedai Makan Digenangi Banjir ‘Air Termenung’ 3 Hari, Cik Su Akhirnya Dibantu 20 Sukarelawan
SEPANG – Perasaan sedih dan tertekan menyelubungi seorang peniaga kedai makan, Norrafinee Mohd Rozi, di Kampung Labu Lanjut apabila premisnya digenangi banjir ‘air termenung’ selama lebih tiga hari sejak 28 November lalu.
Pada awalnya, Norrafinee atau mesra disapa Cik Su, terpaksa membersihkan kedainya sendiri bersama suami dan anak, termasuk peti ais, periuk serta pinggan mangkuk yang berselut lumpur — namun keadaan semakin memeritkan apabila dia jatuh sakit akibat keletihan.

Lantai kedai Norrafinee yang dipenuhi mendapan lumpur terpaksa dicuci beberapa kali.
Keadaannya akhirnya dimaklumkan kepada Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia dan Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) yang menggerakkan 20 sukarelawan dari Semenyih dan Beranang untuk membantu kerja pembersihan pada 1 Disember.
Walaupun keletihan, Cik Su tetap tersenyum menyambut kedatangan mereka sambil menceritakan bagaimana sebahagian besar peralatan dan bahan makanan sejuk beku rosak, selain lumpur menengelami lantai dapur dan ruang makan.
Menurutnya, insiden berlaku selepas hujan lebat menyebabkan air parit berhampiran melimpah deras masuk ke dalam kedai.
Dia bersama suami sempat menyelamatkan sebahagian barangan penting sebelum diminta pihak berkuasa keluar menyelamatkan diri.
Namun, limpahan air itu terus bertakung selama beberapa hari walaupun hujan telah berhenti, menyebabkan lumpur pekat memenuhi seluruh premis.
Sukarelawan kemudian membantu mencuci peralatan, membuang sampah yang hanyut, membersihkan lantai dapur, ruang makan dan longkang bagi membolehkan Cik Su membuka kedainya semula secepat mungkin.
Cik Su yang baru setahun berniaga di kampung itu berkata, ini kali pertama banjir berlaku dan dia tidak menyangka kerugiannya begitu besar, apatah lagi harga barangan kini semakin meningkat.
Setiausaha KESUMA’24, Rozita Yaakob, berkata bantuan kepada Cik Su adalah sebahagian daripada misi bantuan banjir yang sering mereka jalankan di seluruh negara hasil sumbangan dermawan, NGO dan syarikat korporat.
Katanya, misi itu digerakkan setiap kali mereka menerima maklumat mengenai mangsa banjir yang memerlukan sokongan pembersihan dan bantuan keperluan asas. -SAHIH.
