KEDAI EMAS DALAM PASAR RAYA MG COOP MART BULAN DEPAN
KEDAI EMAS DALAM PASAR RAYA MG COOP MART BULAN DEPAN
KUANTAN: Selepas menyaksikan perkembangan memberangsangkan francais kedai emas Makmur Gold dan rangkaian pasar raya MG Coop Mart, Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) bakal memperkenalkan konsep kedai emas dalam semua pasar raya kendaliannya mulai hujung bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood berkata, konsep itu akan dilakukan secara berperingkat seiring dengan perancangan pihaknya untuk membuka 10 cawangan pasar raya MG Coop Mart di Kuantan menjelang hujung tahun ini.
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF KO-MAKMUR, MOHD FAIZUDDIN CHE MAHMOOD
“Kita akan mulakan dahulu di Kuantan sebelum meneruskan idea ini ke negeri lain secara berhati-hati memandangkan keadaan ekonomi ketika ini masih berada dalam fasa pemulihan.
“Bagi perancangan jangka panjang pula, Makmur Gold dan Ko-Makmur berhasrat untuk membuka pasar raya besar yang mempunyai bukan sahaja ruangan menjual barangan keperluan asas dan barang runcit yang lain, tapi di dalam pasar raya itu turut mempunyai kedai emas dan kedai pajak gadai berkonsepkan Ar-Rahnu.. kita sasarkan perkara ini boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga atau lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui di sini.
Mohd Faizuddin berkata, setakat ini pihaknya sudah membuka tiga pasar raya di sekitar Kuantan dengan cawangan pertama di Indera Sempurna sebelum diikuti di Indera Mahkota dan terbaharu di Sungai Karang, dekat sini, yang dirasmikan semalam.
Katanya, terdapat beberapa lokasi di sekitar daerah ini sudah dikenal pasti untuk membuka cawangan baharu, antaranya di kawasan Bandar Putra, dekat Tanjung Lumpur yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
“Kajian teliti sedang dilakukan pasukan pemasaran kami untuk mencari lokasi bersesuaian. Pemilihan Indera Sempurna, Indera Mahkota dan Sungai Karang dibuat selepas mendapati permintaan terhadap pasar raya yang menawarkan produk pada harga berpatutan adalah sangat tinggi di kawasan berkenaan.
“Memang sudah ada pasar raya lain di kawasan berkenaan, tapi kami menambahkan atau memberi pilihan kepada penduduk untuk membelanjakan wang mereka dengan lebih berhemah.
“Selain itu, kita juga menawarkan peluang kepada usahawan kecil dan sederhana Bumiputera untuk memasarkan produk keluaran mereka melalui rangkaian pasar raya kami dan meminta mereka datang berbincang dengan pihak kami untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.
GAMBAR IHSAN MG COOP MART
Ketika diminta mengulas mengenai cadangan pembukaan pasar raya di daerah lain di Pahang, Mohd Faizuddin berkata, pihaknya dalam proses persediaan terakhir sebelum merasmikan pembukaan cawangan pasar raya MG Coop Mart di Lipis yang dijangka dapat beroperasi sebelum 14 Mei ini.
“Kerja pemasangan rak pameran barangan di pasar raya itu sedang dilakukan dan jika semuanya berjalan lancar, kita dapat mula beroperasi tidak lama lagi… kemungkinan besar ia dapat dibuka sebelum kita menyambut Aidilfitri yang dijadualkan beberapa hari lagi,” katanya.