KEBAYA WARISAN BANGSA
Baju Kebaya ialah pakaian tradisional yang dikenakan oleh wanita Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Ia diperbuat daripada kain kasa yang dipasangkan dengan sarung, batik, atau pakaian tradisional yang lain seperti songket dengan motif warna-warni.
Terdapat dua teori tentang asal usul baju kebaya.
Ada yang mengatakan perkataan ‘kebaya’ itu berasal daripada perkataan Arab “abaya” yang bermaksud pakaian labuh yang berbelah di hadapan.
Dipercayai orang Arab membawa baju “abaya” ke Nusantara sejak ratusan tahun yang lalu dan tersebar ke Melaka, Jawa, Bali, Sumatera, dan Sulawesi.
Setelah berlakunya asimilasi budaya yang berlangsung selama ratusan tahun, pakaian itu diterima oleh penduduk setempat.
Teori yang kedua mengatakan pakaian seumpama ini dibawa oleh Portugis ke Melaka, maka sebab itulah kebaya telah lama dipakai di Melaka bukan sahaja oleh wanita Melayu tetapi juga oleh wanita Cina Peranakan (Baba) dengan sedikit perbezaan dalam potongan dan gaya memakainya.
Di Malaysia, baju kebaya asalnya direka labuh hingga ke paras lutut ataupun lebih.
Tangannya panjang dan lebar.
Bahagian badannya mengikut potongan badan dan melebar ke bawah bermula dari bahagian punggung.
Bahagian hadapannya pula berbelah dan berkolar sampai ke kaki baju.
Bahagian yang berbelah ini disemat dengan tiga kerongsang berasingan atau yang berangkai dengan rantai halus.
Kerongsang ini dikenali sebagai ibu dan anak kerongsang.
Kerongsang yang besar di atas dipanggil ibu dan dua lagi yang kecil dan dipakai bawah kerongsang ibu dipanggil anak.
Baju kebaya mempunyai pelbagai gaya.
Contohnya di Selangor, kebayanya tidak berkolar. Di Perak pula lengan kebayanya sangat lebar berbanding dengan kebaya di negeri-negeri yang lain.
Di Pahang pula, baju kebayanya yang dikenali sebagai baju Riau Pahang mempunyai leher berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang tetapi bahagian hadapannya juga berbelah seperti baju kebaya yang lain malah turut dipasangkan kerongsang di bawah kancingnya yang berbutang itu.
Baju kebaya sesuai untuk pakaian harian dan juga pakaian pengantin.
Bagi pakaian harian, baju kebaya sesuai diperbuat daripada kain kapas dan baldu atau sutera (bagi yang berada) dan dipadankan dengan kain sarung. Selendang hanya dikenakan apabila keluar rumah.
Bagi pengantin pula, baju kebayanya diperbuat daripada songket dan sepasang dengan kain sarungnya. Selendangnya juga diperbuat daripada songket.
Terdapat beberapa jenis kebaya yang sering digayakan di negara kita antaranya ialah kebaya belah panjang, kebaya Kota Bharu, kebaya Riau-Pahang, kebaya nyonya, kebaya chitty, dan kebarung.
- Kebaya belah panjang
Menurut portal rasmi kerajaan negeri Johor, walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung pada acara majlis, mereka hadir dengan memakai kebaya sebagai warisan daripada kerajaan Johor-Riau.
Pola baju belah panjang ini masih bersifat mengurungkan anggota badan.
Secara tradisi potongannnya labuh sehingga buku lali. Bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan baju.
2.Kebaya Kota Bharu
Kebaya ini dikenali sebagai kebaya Kota Bharu kerana secara tradisinya ia dipakai oleh wanita di Kota Bharu Kelantan.
Beza antara kebaya ini dengan yang lain adalah rekaan di bahagian depan dada baju kebaya berkenaan.
Bahagian depannya mempunyai kancing sama seperti kebaya Pulau Jawa terutama di Kota Bandung yang dipanggil kebaya kutu baru.
3.Kebaya Riau- Pahang
Di Pahang, baju kebayanya dikenali sebagai baju Riau-Pahang atau dipanggil kebaya turki.
Perbezaannya menerusi rekaan berkolar dan berkancing seperti baju kurung cekak musang.
Namun, bahagian depannya berbelah seperti baju kebaya lain malah turut dipasang dengan kerongsang di bawah kancingnya.
- Kebaya Nyonya
Kebaya nyonya biasanya diperbuat daripada kain kasa rubia.
Kain tenunan kosong ini jarang, ringan dan diperbuat daripada benang pintal yang halus.
Benang yang digunakan untuk menjahit fabrik biasanya benang sulaman mesin daripada kapas, sutera atau polister.
Pada zaman dahulu, fabrik dan benang yang digunakan untuk membuat kebaya nyonya terdiri daripada jenis bermutu paling tinggi dan diimport dari Eropah , kerana ia dilihat sesuai dengan status nyonya.
Kebaya nyonya juga terkenal dengan motif sulamannya yang beraneka dan cantik.
- Kebarung
Kebarung merupakan gabungan antara baju kebaya dengan baju kurung.
Busana ini berasal dari selangor dan sangat popular serta diminati oleh wanita zaman awal 90-an.
Baju ini dilihat lebih sopan dengan potongannya yang labuh berbanding kebaya lain sesuai dipakai oleh wanita muslim.
- Kebaya chitty
Kebaya ini biasanya dipakai oleh kaum India.
Sama seperti wanita selat atau nyonya, kaum India juga mempunyai kebaya tradisi mereka.
Kebaya chitty biasanya diperbuat daripada bahan legap berbanding dengan kebaya nyonya yang gemar menggunakan kain separa telus.
Terdapat dua jenis kebaya chitty sama ada ditambah dengan sulaman yang halus ataupun kosong.
- Kebaya Saloma
Biduanita Puan Sri Saloma boleh dianggap sebagai pencipta atau pencetus trend fesyen dan gaya berpakaian wanita Malaya sejak muncul sebagai penyanyi dan pelakon filem pujaan ramai.
Saloma dilihat berani mencuba dan memperkenalkan sesuatu yang baru dalam cara berpakaiannya.
Pada zaman 1950-an di mana orang Melayu kuat dicengkam adat dan berpegang teguh kepada tata susula Timur, Saloma muncul dengan gaya berpakaian ‘asing’ bagi masyarakat Melayu ketika itu.
Saloma mempopularkan fesyen pakaian ketat, menampakkan bentuk badan, potongan melepasi bahu dan menampakkan dada.
Saloma turut memperagakan pelbagai jenis kebaya yang menjadi menjadi ikutan wanita Melayu pada zamannya.
Fesyen pakaian dengan potongan kain kipas dan kembang, tangan melepai menjadi kemestian wanita dan artis wanita pada waktu itu.
Begitu juga dengan pakaian luar ala kot yang dicetuskannya turut manjadi ikutan ramai.