Kawal jual tanah kepada bukan Bumiputera untuk kekal hak milik anak cucu pada masa akan datang – Wan Rosdy
Kawal jual tanah kepada bukan Bumiputera untuk kekal hak milik anak cucu pada masa akan datang – Wan Rosdy
LIPIS – Kerajaan Pahang terus menggiatkan usaha untuk mengekalkan hak ke atas pemilik tanah kalangan orang Melayu di seluruh negeri daripada terlepas ke tangan atau dijual kepada bukan Bumiputera.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan usaha serius kerajaan negeri dilakukan untuk memastikan penduduk Bumputera negeri ini khususnya generasi pada akan datang tetap memiliki hak ke atas bumi Pahang.
“Saya menjangkakan sekiranya tidak dikawal sudah tentu ramai yang akan menjual tanah yang telah diberikan kepada mereka kepada bukan Bumiputera.
“Tanah ini sumber yang terhad dan tidak akan bertambah, nak dapat pun susah. Jadi bila dah dapat ni tolong jangan dijual, usahakan sesuatu ke atas tanah ini seperti menanam pokok buah-buahan dan sebagainya,” katanya pada Majlis Penyerahan Notis 5A bagi daerah ini di sini semalam.
Sempena majlis itu, Wan Rosdy menyerahkan pemberimilikan individu kepada penduduk tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN, iaitu DUN Jelai, DUN Padang Tengku dan DUN Cheka kepada seramai 59 peserta bagi tujuan pertanian melibatkan keluasan keseluruhan 73.0942 hektar.
Turut menerima surat Notis 5A Skim Tanah Rakyat (STR), iaitu seramai 391 orang penerima empat kawasan, iaitu DUN Jelai, DUN Padang Tengku, DUN Benta dan DUN Cheka.
Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan rakyat di negeri ini dengan menyalurkan pelbagai bantuan serta inisiatif daripada jumlah kutipan hasil negeri yang semakin meningkat.
“Apa yang tuan-tuan minta, kerajaan negeri tetap prihatin dan endah serta bersetuju memberikan bantuan kewangan,” katanya.
Seorang penerima dari Kampung Jeram Bungor, Dun Cheka, Mamat Che Haron, 76, berkata, dia menzahirkan rasa bersyukur apabila impian untuk memiliki sebidang tanah kini tercapai.
“Sebelum ni saya tak pernah ada tanah, nak beli sendiri tak mampu sebab mahal, duit pendapatan hasil dari kerja kampung pun hanya lepas untuk beli keperluan harian sahaja.
“Jadi bila dimaklumkan saya layak terima STR ini sudah tentu rasa gembira tak terkata, saya rancang nak tanam pokok buah, nanti boleh anak cucu makan hasil,” katanya.
Katanya, dia berpandangan pemberian tanah ini merupakan langkah tepat untuk memberikan peluang kepada penduduk khususnya golongan muda untuk memiliki aset pada masa akan datang.-SAHIH.