KATIL MUDAH ALIH UNTUK PESAKIT STROK
KATIL MUDAH ALIH UNTUK PESAKIT STROK
KUANTAN: Impian pesakit angin ahmar atau strok di FELDA Bukit Sagu 1, dekat ini, untuk memiliki katil mudah alih lebih selesa, menjadi kenyataan selepas menerima sumbangan daripada ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, semalam.
Bagi Khairolnizam Sulaiman, 36, kehadiran Timbalan Menteri Kewangan menyampaikan sendiri katil mudah alih itu sangat menyentuh hatinya.
Dia yang tidak boleh bertutur dengan sempurna selepas diserang angin ahmar pada Ogos 2019, hanya mampu tersenyum dan berulang kali mengucapkan terima kasih kepada Mohd Shahar.
Khairolnizam (atas katil) bersama ibunya, Rashidah Md Rejab menerima sumbangan katil mudah alih dan bakul makanan daripada ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah
Ibu Khairolnizam, Rashidah Md Rejab, 60, ketika ditemui berkata, katil mudah alih itu dapat menyenangkan pergerakan anaknya yang sebelum ini banyak memerlukan bantuan ahli keluarga lain.
“Kami sangat bersyukur kerana sumbangan ini sudah tentu dapat memudahkan pergerakan Khairolnizam selepas ini.
“Sebelum ini, keadaan Khairolnizam pernah mendapat perhatian Pemangku Raja Pahang, (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah) dan hari ini, YB (Mohd Shahar) datang dan serahkan katil mudah alih untuk kegunaan Khairolnizam,” katanya.
Selain menyampaikan sumbangan katil mudah alih, Mohd Shahar turut mengagihkan bantuan bakul makanan kepada keluarga berkenaan.
Sementara itu, Mohd Shahar berkata, pihaknya sudah mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di kawasan Paya Besar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang dilaksanakan kerajaan pada Mac tahun lalu.
“Bantuan ini (bakul makanan) diagihkan secara berterusan sejak PKP 1.0 dan ia adalah komitmen kami untuk memastikan tidak ada keluarga memerlukan yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari, petugas pusat khidmat ahli Parlimen mengagihkan kira-kira 200 bakul makanan kepada penduduk terkesan akibat pandemik COVID-19 dan saya meminta penduduk di kawasan ini (Paya Besar) menghubungi pusat khidmat kami untuk memudahkan proses penyaluran bantuan,” katanya-SAHIH