Kata azimat ayah menjadi tonik rangkul emas Sukan SEA
Foto atas : Ibunya, Nasnita (kiri) dan ayahnya, Adi Daud menunjukkan foto Nor Sarah semasa kecil di rumahnya di Felda Jengka 3, hari ini.
Kata azimat ayah menjadi tonik rangkul emas Sukan SEA
BANDAR PUSAT JENGKA – Kata azimat ayah Nor Sarah Adi sebelum bertanding dalam acara lompat bergalah semalam menjadi ‘tonik’ untuk dia berjaya merangkul pingat emas dalam sukan olahraga acara lompat bergalah Sukan SEA di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam.
Kemenangannya merangkul emas dalam sukan itu turut memberi semangat yang jitu kepada Nor Sarah Adi yang turut mengukir kejayaan berganda dengan memungut pingat gangsa dalam acara lari berganti-ganti 4 x 100 meter bersama kuartetnya, S. Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias yang mencatatkan 45.32 saat (s) di belakang Thailand (44.39s) dan Vietnam (45.25s).
Ayahnya, Adi Daud, 56 tahun berkata, nalurinya merasakan anaknya akan berjaya rangkul emas dan sebelum pertandingan, dia menelefon untuk memberi kata semangat kepada anaknya agar tidak menghampakan rakyat Malaysia dan keluarga.
“Sarah memang cukup berdisiplin dalam latihan dan tidak mengenal erti kalah serta sentiasa berusaha keras untuk berjaya dalam apa jua bidang yang ceburi termasuk akademik dan sukan.
“Acara yang kerap diceburinya adalah larian 100 meter dan 4 x 100 meter, acara lompat bergalah hanya sekali-sekala disertainya sekiranya ada kejohanan olahraga mengadakan acara itu, namun dia mencatatkan ketinggan 4.0 meter untuk muncul juara” katanya di kediamannya di Felda Jengka 3, hari ini.
Katanya, Sarah seorang yang meminati sukan dan semasa di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4 dia kerap menceburkan diri dalam acara larian termasuk acara merentas desa, termasuk belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 2, dia tidak terkecuali menyertai acara sukan yang digemarinya.
“Kejayaan dan bakatnya itu dia dipilih melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sukan Gambang Kuantan bermula tingkatan 3 hingga menduduki peperiksaan Sijil pelajaran Malaysia.
Ibunya, Nasnita Mohd Zain, 48 turut terharu dengan kejayaan anaknya yang merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah.
“Kami sekeluarga tidak senang duduk menonton secara langsung acara ini melalui televisyen, semalam dan dia sempat melakukan panggilan video selepas mencatatkan nama sebagai penerima pingat emas.
“Katanya, dia bersyukur dengan doa ayah dan ibu serta semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan dia dan atlet tanah air dan berharap terus mendoakan kejayaan mereka,” katanya.
Ibu kepada mahasiswa yang sedang belajar dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, anaknya tetap memilih untuk terus belajar di samping mewakili negara dalam bidang sukan olahraga.
“Semasa dalam panggilan video Sarah sempat mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaannya dan rakan-rakannya, dia memohon agar terus berdoa untuk kejayaan semua atlet Malaysia di Vietnam yang sedang berjuang dalam acara masing-masing,” katanya.-SAHIH.