KASA FOKUS 4 PROGRAM UTAMA
Berita Nasional
KASA FOKUS 4 PROGRAM UTAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengetengahkan empat program utama bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2020 (HASN) hari ini, bertemakan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.
Menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata program itu adalah Pelestarian Sungai melalui Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK), Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal Dan Elektronik (e-waste), Kempen Hindari Plastik Sekali Guna dan Penghijauan Bumi dan Penanaman Pokok.
“Saya akan merasmikan Denai Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian esok (24 Oktober). Denai ini akan bermula di kawasan belakang Hospital Universiti Sains Malaysia dan berakhir di sekitar Min House Camp, Kubang Kerian. Denai ini adalah antara projek perintis di bawah program DSK.
“Program kedua yang dijalankan semasa sambutan HASN tahun ini adalah kempen pengumpulan buangan elektrikal dan elektronik iaitu e-waste. Satu kempen pengumpulan e-waste yang dilancarkan pada 23 Sept berjaya mengumpul 130,000 kg (130 tan metrik) e-waste dari seluruh negara dan dijangka jumlah ini akan terus meningkat,” katanya dalam ucapan perasmian HASN di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Ucapan itu dibaca oleh timbalannya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Program DSK menyasarkan 10,000km denai dibina menjelang 2030 di seluruh negara bagi memberi galakan kepada komuniti setempat dan pihak berkepentingan dalam memastikan sungai di Malaysia terpelihara daripada pencemaran.
Menerusi inisiatif Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal Dan Elektronik, KASA melalui Jabatan Alam Sekitar mencadangkan hari Sabtu terakhir setiap bulan sebagai hari pengumpulan e-waste di seluruh negara bermula Januari tahun hadapan.
Sementara itu, menerusi kenyataan media KASA, Mesyuarat MEXCOE yang diadakan secara dalam talian hari ini membentangkan empat kertas antaranya Penutupan Kilang-kilang Haram dengan Kerjasama Pihak Kerajaan Negeri dan Program Denai Sungai Kebangsaan sebagai Langkah Ke Arah Kelestarian Sungai.
Kenyataan itu memaklumkan isu penutupan kilang haram, memperkasa tadbir urus buangan terjadual serta pelaksanaan Program Denai Kebangsaan adalah untuk memastikan isu-isu pencemaran terutamanya sungai dapat ditangani secara menyeluruh.
“Kerjasama Menteri dan Exco alam sekitar setiap negeri adalah paling penting untuk memastikan pencegahan pencemaran alam sekitar dapat dipertingkatkan dan diperkukuhkan melalui kerjasama Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi Persekutuan.
“Kejadian pencemaran yang berlaku di Sungai Semenyih dan Sungai Selangor pada September dan Oktober ini telah mengakibatkan gangguan bekalan air kepada penduduk di Lembah Klang, Kuala Langat dan lain-lain kawasan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut membentangkan kertas kerja bertajuk, Memperkasakan Tadbir Urus Buangan Terjadual melalui Sistem e-SWIS dan Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut 2020/2021.
Sumber: BERNAMA