Karnival Perpaduan Sukan Rakyat Bera 2025 meriah, semarak semangat kekeluargaan
Karnival Perpaduan Sukan Rakyat Bera 2025 meriah, semarak semangat kekeluargaan
BERA, – Lebih 1,500 pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Majlis Daerah Bera sempena Karnival Perpaduan Sukan Rakyat Daerah Bera 2025 yang berlangsung dengan penuh kemeriahan hari ini.
Program anjuran Pertubuhan Jalinan Aspirasi Bermuafakat Negeri Pahang (JABAT) itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui pelbagai aktiviti menarik yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan dan jati diri rakyat.
Pengerusi JABAT, Azril Ramli berkata, antara pengisian utama karnival tersebut ialah acara Fun Run yang berjaya menarik penyertaan seramai 500 peserta dari dalam dan luar daerah.
“Selain itu, pertandingan sepak penalti bawah 12 tahun dan kategori terbuka turut mendapat sambutan menggalakkan, terutama dalam kalangan belia tempatan,” katanya.
![]()
Tambah beliau, karnival turut dimeriahkan dengan persembahan demonstrasi Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Pahang yang melibatkan seramai 150 pengamal silat dari seluruh negeri.
“Kita juga mengadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan congkak, serta aktiviti senam aerobik yang disertai lebih 100 peserta,” ujarnya.
Menurut Azril, sambutan yang menggalakkan ini membuktikan bahawa semangat muafakat dan perpaduan masih kukuh dalam kalangan masyarakat, selari dengan matlamat penubuhan JABAT sebagai platform kebersamaan rakyat pelbagai latar belakang.
![]()
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Wanita dan Keluarga Negeri Pahang,yang juga ADUN Guai, Datuk Sabariah Saidan.
Dalam ucapannya, beliau memuji usaha JABAT yang sentiasa proaktif dalam menganjurkan program berunsurkan perpaduan rakyat.
“Usaha seperti ini perlu diteruskan bagi membentuk masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Karnival yang berlangsung sepanjang hari itu turut menjadi platform pertemuan antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan serta orang ramai dalam suasana santai dan penuh ceria.-SAHIH
