MOH KARNIVAL MAKMUR DAN KARNIVAL TANAH CATAT KEJAYAAN BESAR
MOH KARNIVAL MAKMUR DAN KARNIVAL TANAH CATAT KEJAYAAN BESAR
BERA – Program tahunan Moh Karnival Makmur kali ini lebih meriah apabila digabungkan dengan Karnival Tanah, menjadikannya satu acara berskala besar yang berjaya menarik ribuan pengunjung.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail , Menteri besar Pahang berkata, kejayaan penganjuran ini dapat dilihat melalui jumlah kehadiran yang tinggi serta kutipan hasil sekitar RM12 juta daripada karnival tanah.
Karnival ini bukan sahaja medan hiburan tetapi juga platform penting untuk rakyat mendapatkan maklumat secara terus daripada pelbagai agensi kerajaan.
“Melalui karnival ini, rakyat boleh mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih terus dari agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain. Ini mengelakkan mereka daripada menerima maklumat tidak sahih atau diputar belit pihak tertentu,” katanya.
Selain pameran dan jualan, karnival ini turut menampilkan pakar industri yang memberi ceramah berkaitan tanah, ekonomi dan perancangan pembangunan negeri.
Beberapa isu penting juga berjaya diselesaikan secara langsung melalui sesi dialog bersama pegawai daerah serta agensi berkaitan.
Menurut beliau, konsep penggabungan dua karnival ini juga dilakukan bagi menjimatkan kos serta memudahkan rakyat yang tidak perlu hadir ke acara berasingan.
Kejayaan program ini membuktikan bahawa inisiatif kerajaan negeri untuk mendekati rakyat semakin berkesan.
“Program ini bukan yang pertama, tetapi kali pertama kita gabungkan. Ini memudahkan rakyat dan pada masa yang sama, menjimatkan kos serta tenaga kerja,” tambahnya.
Program ini turut disertai oleh Sentuhan Makmur, sebuah inisiatif kerajaan negeri yang diketuai oleh YB Sabariah Shidan yang juga ADUN Guai, bertujuan membantu menyelesaikan masalah rakyat secara langsung. Inisiatif ini dijangka akan diperluaskan ke seluruh negeri dalam masa terdekat.-SAHIH