KAPAL KARAM DI KUALA TERENGGANU
KAPAL KARAM DI KUALA TERENGGANU
KUALA TERENGANU: Sebuah kapal Setia Kilas (Port Klang) dan nombor pendaftaran MLSS9388P dilaporkan karam di perairan laut Kuala Terengganu berhampiran Seberang Takir pada jam 11.00 pagi, semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Terengganu, Kapten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kapal tersebut sedang melakukan pemeriksaan dan ujian sebelum mengalami masalah enjin tidak berfungsi.
“Dilaporkan punca kejadian disebabkan 3 enjin tidak berfungsi dan hanyut dibawa arus kuat serta melanggar dasar batu pemecah ombak menyebabkan kebocoran pada badan kapal itu yang turut membawa 7 kru dan 3 kontraktor.
“Akibat kejadian itu, dilaporkan berlaku tumpahan minyak disel yang dianggarkan 11 ribu liter dan hanyut dalam lingkungan satu batu nautika,” katanya, lapor Bernama.
Katanya, kapal penyelamat Penggalang 17 daripada Maritim Terengganu diarah ke tempat kejadian dan mendapati semua kru telah terjun ke dalam air dan menyelamatkan diri ke daratan berdekatan.
Katanya, semua sepuluh orang yang berada di kapal tersebut selamat dan dibawa ke Hospital Kuala Terengganu untuk mendapat rawatan.
Sementara itu, Jabatan Maritim Malaysia (Zon Timur) akan menyiasat punca kejadian, manakala Jabatan Alam Sekitar turut dihubungi berkaitan dengan tumpahan minyak di kawasan itu.
video : https://www.youtube.com/watch?v=FWZ-RW9b_4Q