LEMAS DALAM TALI AIR
KANAK-KANAK PEREMPUAN LEMAS DI TALI AIR
PARIT BUNTAR: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di parit tali air Sungai Betul Bawah, di sini, petang tadi.
Memetik laporan BH Online, ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat, berkata dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa, Nur Farah Dania Abd Rahman, 12, yang tinggal di Tanjung Piandang, dikatakan mandi di lokasi bersama tujuh lagi rakannya.
Beliau berkata, seorang pemancing yang berada di kawasan berhampiran menyedari dua kanak-kanak berkenaan hampir lemas sebelum terjun ke dalam tali air untuk menyelamatkan mereka.
“Walau bagaimanapun hanya seorang sahaja yang berjaya diselamatkan, manakala seorang lagi gagal ditemui.
“Pemancing itu meminta pertolongan orang kampung dan sekitar 6. 30 petang mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi mereka mandi.
“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang oleh kenderaan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melalui kawasan itu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mazuki berkata, petugas klinik memberi bantuan pernafasan kepada mangsa selama 30 minit sebelum mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar dan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.