KANAK-KANAK MAUT JATUH FLAT
KUALA TERENGGANU: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 15 Flat Ladang Gemilang Satu di sini, petang tadi.
Kejadian itu dikatakan berlaku pada 4 petang ketika kanak-kanak berkenaan, Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul yang bersendirian di rumahnya tergelincir ketika berada di tepi tingkap ruang tamu.
Gambar Hiasan
Difahamkan, ibu mangsa keluar ke kedai berhampiran, manakala mangsa ketika itu dikatakan sedang tidur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
“Kita masih menjalankan siasatan bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya.
Menurut saksi kejadian, Siti Mafatehah Alias, 29, ketika kejadian dia sedang tidur di rumahnya di tingkat empat sebelum terkejut selepas terdengar bunyi benda jatuh.
“Pada mulanya saya ingat sampah yang jatuh, namun selepas diberitahu oleh anak ada budak jatuh, saya kemudian melihat ke bawah dan terkejut kerana saya kenal kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sumber: Harian Metro