KANAK-KANAK LEMAS DI MUARA PANTAI BALOK, MAYAT DITEMUI SELEPAS 8 JAM OPERASI MENCARI
KANAK-KANAK LEMAS DI MUARA PANTAI BALOK , MAYAT DITEMUI SELEPAS 8 JAM OPERASI MENCARI
KUANTAN – Kegembiraan sebuah keluarga yang berkelah di sekitar Jeti Balok Pantai di sini bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam muara petang semalam.
Mangsa, Nur Afia Ramadhani Zulkarnain, dipercayai tergelincir ke dalam muara ketika leka bermain berhampiran kawasan air pada jam 4.46 petang, sebelum dilaporkan hilang.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Razam Taja Rahim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 16 anggota bersama satu jentera FRT, EMRS, 4×4, lori serta bot aluminium digerakkan. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan turut membantu dengan tiga anggota dan sebuah bot Whaly,” katanya.
Operasi mencari turut dibantu oleh enam orang awam dengan dua buah bot, selain kehadiran anggota dari PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pasukan penyelamat menjalankan pencarian permukaan sekitar lokasi sebelum mayat mangsa ditemui di tebing pasir sejauh 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, kira-kira jam 12.43 tengah malam.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.59 pagi,” ujar Mohd Razam.
Operasi berkenaan diketuai oleh Komander Operasi PBK I (KUP) Mohd Hilmi Jamaludin dan diselia oleh beberapa pegawai kanan termasuk Ketua Zon 1, PgKB I Rasydan Ismail serta pegawai PPDA.
Kes disiasat pihak polis dan kejadian ini menjadi peringatan agar aspek keselamatan sentiasa diutamakan ketika menjalankan aktiviti riadah di kawasan air.-SAHIH