KANAK-KANAK BERBASIKAL DIKOMPAUN ADALAH FITNAH
KANAK-KANAK BERBASIKAL DIKOMPAUN ADALAH FITNAH
KUALA LANGAT: Gambar tular berhubung dua kanak-kanak berbasikal dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah fitnah.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizam Tukiman berkata, perkara itu telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab dalam memberikan gambaran pihak polis mengambil tindakan kepada sesiapa tanpa sensitiviti serta pendekatan budi bicara semasa menangani isu Covid-19.
“Selain itu, individu tersebut tiada kaitan dan bukan penjaga kepada dua kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! Online melaporkan, terdahulu tular di laman sosial menyatakan seorang bapa disaman kerana membiarkan kanak-kanak yang bermain basikal tidak memakai pelitup muka dalam kejadian dikatakan berlaku di Telok Panglima Garang di sini.
Kata Azizan, gambar pegawai polis bersama dua kanak-kanak itu adalah isu berlainan semasa rondaan pencegahan jenayah di kawasan taman perumahan.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam tidak menyebarkan berita palsu yany boleh mencetuskan rasa ketidakharmonian dan menjejaskan ketenteraman awam.
“Perlakuan ini adalah satu jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan kesahihan sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menyebarkan perkara yang tidak sahih,” jelasnya.