Kampung Kuala Tembeling Terima RM1 Juta Bagi Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI
Kampung Kuala Tembeling Terima RM1 Juta Bagi Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI
JERANTUT, – Penduduk Kampung Kuala Tembeling dekat sini terus menikmati limpahan pembangunan apabila terpilih sebagai salah satu lokasi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
Majlis peluncuran program itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPN, Datuk Ruji Ubi dalam satu acara rasmi yang turut dihadiri wakil-wakil agensi kerajaan serta komuniti setempat.
Sebanyak 11 projek meliputi pembaikan, naik taraf serta pengubahsuaian fasiliti awam, pusat komuniti dan premis kerajaan bakal dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat kampung.
Antara projek utama termasuklah baik pulih dan pembinaan semula balai masak Masjid Kuala Tembeling, pemasangan lampu solar, pembaikan dewan sekolah, tandas awam baharu di tapak Pekan Sehari dan pembinaan gelanggang sukan terbuka.
Menurut Datuk Ruji, pemilihan Kampung Kuala Tembeling merupakan sebahagian daripada pendekatan “Whole of Government” yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024.
“Program ini bertujuan mempercepat pembangunan infrastruktur berskala kecil yang memberi impak besar kepada penduduk luar bandar,” katanya.
Sebanyak 43 kampung telah menerima manfaat menerusi program ini pada tahun lalu, dan pada tahun 2025, kerajaan menyasarkan 200 buah kampung akan turut serta dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.
Beliau turut menegaskan pentingnya pemantauan rapi sepanjang pelaksanaan projek bagi memastikan kualiti kerja tidak dikompromi dan hasilnya benar-benar dapat dimanfaatkan rakyat.
“Kejayaan program ini bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Kewangan, ICU JPM, Pejabat Daerah Jerantut serta agensi-agensi pelaksana yang lain,” tambah beliau.
Program ini dijangka memberi impak besar dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti dan membina masa depan yang inklusif sejajar aspirasi Malaysia MADANI.-SAHIH