Kampung Bantal mula dinaiki air, amaran angin luruan monsun timur laut bermula
Kampung Bantal mula dinaiki air, amaran angin luruan monsun timur laut bermula
Foto atas: Air Sungai Tembeling mula naik dan melimpah ke atas tebing Kampung Bantal, mulai petang ini.
JERANTUT : Siren amaran pertama berbunyi memberikan peringatan kepada penduduk supaya berwaspada kerana banjir akan berlaku setelah air dua batang sungai utama naik mendadak pada jam 5.30 petang hari ini
Ramalan angin luruan monsun timur laut yang dilaporkan berlaku melibatkan negeri di pantai Timur dan Pahang menyaksikan kenaikan paras air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke kampung pada jam 6.45 petang hari ini sekali gus amaran awal berlaku semula banjir di daerah ini bermula di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini.
Seorang penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rasid berkata, hujan lebat sejak dua hari lalu sehingga ke hari ini menyebabkan paras kenaikan air di hulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia begitu cepat dan arus mula deras yang membawa batang kayu, daun reba ranting dan sampah.
“Air sungai utama ini sudah melimpah paras tebing dan memasuki kawasan kedai kopi, kedai runcit, jeti bot penambang dan kediaman di pesisir sungai sejak jam 6. 45 petang tadi.
“Saya yakin sekiranya hujan berterusan air akan melimpah masuk lagi ke kawasan rumah dan pusat inap di sini dan bermakna musibah banjir berulang semula seperti kejadian yang bermula pada 17 Disember 2021,” katanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling dekat sini.
Zaimi Abdullah berkata, baharu sahaja air surut empat hari lalu, tiba-tiba air sungai melimpah semula berikutan hujan lebat sejak kelmarin.
“Namun, penduduk di sini sudah kerap mengalami suasana ini dan sudah bersedia sekiranya kemungkinan berlaku banjir semula ataupun keadaan yang sama sebelum ini.
Katanya, penduduk di situ berharap hujan tidak berterusan walaupun amaran angin monsun luruan bermula pada 28 Disember 2021 hingga 3 Januari tahun depan kerana penduduk tidak dapat bekerja di samping persiapan persekolahan tidak lama lagi.
Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jerantut akan mula beroperasi secara menyeluruh mulai 31 Disember, jam 12.01 pagi untuk menghadapi segala kemungkinan banjir berdasarkan ramalan cuaca semasa.
Orang ramai perlu peka dengan keadaan sekeliling kawasan masing-masing terutama kawasan yang sring dilanda banjir dan mudah dinaiki air.
Orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jerantut di talian 09-2608812 dan 09-2608679.-SAHIH.