Kampung Bantal masih dinaiki air akibat hujan berterusan di kawasan hulu
Kampung Bantal masih dinaiki air akibat hujan berterusan di kawasan hulu
JERANTUT : Penduduk pesisir Sungai Tembeling di Kampung Bantal, mukim Ulu Tembeling daerah ini masih berwaspada apabila banjir gelombang kedua yang melanda di kawasan penempatan masih bertahan dan tidak nampak tanda akan surut hari ini.
Penduduk Kampung Bantal memaklumkan pada jam 9 pagi hari ini keadaan air Sungai Tembeling masih bertahan selepas hujan turun di kawasan hulu sungai pada pukul 4 pagi hari ini.
Arus yang deras itu turut menghanyutkan kayu balak reput dan reba pokok besar turut membawa air melimpah masuk ke kawasan rumah, kedai kopi dan jeti bot penambang yang terletak di pesisir sungai pada jam 6 pagi semalam.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rasid berkata, petang semalam sudah ada tanda air akan surut, tetapi naik semula pada pukul 4 pagi hari ini kemungkinan hujan lebat berlaku di kawasan hulu sungai.
“Penduduk di sini masih berwaspada kerana air masih ke kawasan rumah, kedai kopi dan jeti bot penambang, manakala arus sungai sangat deras.
“Namun, penduduk yang tinggal di pesisir sungai ini sudah membuat persediaan rapi sekiranya kejadian banjir lebih buruk berasaskan amaran angin monsun luruan masih belum berakhir,” katanya di Kampung Bantal dekat sini hari ini.
Kejadian banjir yang bermula pada 17 Disember lalu menyebabkan air Sungai Tembeling melimpah masuk ke kawasan rumah, kedai kopi, kedai runcit dan pusat inap yang terletak di pesisir sungai tersebut kemudian berulang semula pada 30 Disember 2020 lalu.-SAHIH.