KAMPUNG BANTAL BANJIR LAGI
KAMPUNG BANTAL BANJIR LAGI
HUJAN BERTERUSAN DI KAWASAN HULU MENGAKIBATKAN PARAS AIR SUNGAI TEMBELING NAIK
JERANTUT : Hujan berterusan sejak kira-kira 7.00 pagi Selasa tanpa henti di daerah ini, mengakibatkan air mula membanjiri tebing Kampung Bantal, pada jam 1.30 pagi hari ini.
Sebanyak lapan buah kedai dilaporkan terjejas dan bacaan di Stesen Kampung Bantal hari ini, curahan air hujan sebanyak 105 milimeter (mm) dan bacaan paras air Sungai Tembeling, 103.34 meter, masih di paras normal dan menunjukkan trend menurun.
Berasaskan laporan di laman sosial Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, semalam hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan kawasan Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin.
Jerantut antara daerah yang terkesan dengan musibah banjir kerana aliran sungai utama, iaitu Sungai Tembeling di negeri ini bermula di Hulu Tembeling menyaksikan apabila hujan lebat berterusan mengakibatkan kawasan kampung di pesisir sungai itu dinaiki air.
Penduduk Kampung Bantal, Japran Ali, 63 tahun berkata, siren amaran banjir berbunyi pada pukul 12.27 pagi hari ini apabila air melimpah masuk ke kawasan dataran kampung melibatkan kedai makan, pondok menunggu bot penambang, jeti dan beberpa buah kediaman penduduk.
“Kami tidak terkejut kerana sudah pun menjangkakan air Sungai Tembeling akan melimpah masuk ke kawasan premis memandang hujan lebat sejak tiga hari lalu.
“Kejadian ini berpunca apabila berlaku pertembungan aliran Sungai Sepia dan Sungai Tembeling berdekatan kampung ini menyebabkan air naik begitu cepat,” katanya di Kampung Bantal, Hulu Tembeling dekat sini hari ini.
Menurutnya, sehingga ini hujan masih turun serta paras air melebihi paras amaran bahaya dan bagaimanapun penduduk sentiasa waspada dengan senario itu seperti yang pernah dialami pada musim tengkujuh penghujung tahun lalu.
“Air memenuhi kawasan dataran melibatkan pondok menunggu bot penambang, kedai makan dan beberapa buah rumah penduduk, tetapi masih tidak melibatkan pemindahan,” katanya.