Kamarulzaman koma dan strok di Korea Selatan tiba di tanah air malam ini
Kamarulzaman koma dan strok di Korea Selatan tiba di tanah air malam ini
JERANTUT – Kamarulzaman Mohd Fauzi @Jazuli, 50, yang menerima rawatan kira-kira 40 hari di Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, bakal tiba ke tanah air dengan pesawat Korean Air pada jam 4.40 petang waktu tempatan hari ini dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 10.20 malam ini.
Dia yang mengalami koma dan strok di negara Korea Selatan menaiki pesawat berkenaan diiringi oleh sepupunya, Solaha Adlan yang bekerja di sana turut menjaga Kamarulzaman ketika dirawat Hospital Universiti Kebangsaan Chungbuk, Cheongju, negara tersebut.
Anak sulung Kamarulzaman, Mohammad Zafifi, 28, berkata, berdasarkan jadual tiket penerbangan Korean Air, bapanya dijangka tiba di KLIA pada jam 10.20 malam ini.
Katanya, perkhabaran yang diperoleh daripada sepupu ayahnya (Solaha) di Korea sebelum berlepas pada petang hari ini, bapanya sudah pulih dan kelihatan ceria serta boleh berbual dengan sepupunya sejak sedar dari koma beberapa hari lalu.
Katanya, bapanya dirawat hampir 40 hari sehingga ini termasuk 23 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital di negara tersebut dan sudah sedar daripada koma dan disahkan pulih oleh doktor serta membenarkan dia pulang ke tanah air.
“Alhamdulillah, saya dan ahli keluarga sangat bersyukur dan gembira dengan perkembangan kesihatan bapa dan berharap dia pulih daripada penyakit strok yang akan dihantar terus ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan selanjutnya setelah tiba di KLIA malam ini,” katanya.
Menurut Mohammad Zafifi, segala usaha membawa pulang bapanya ke tanah air dibiayai sepenuhnya menerusi sumbangan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berjumlah RM30,000 bagi pengurusan penerbangan dan menampung bayaran tunggakan hospital di sana.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi bantuan tersebut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah yang turut membantu berusaha sehingga memperoleh sumbangan tersebut,” katanya.
Selanjutnya, Mohammad Zafifi juga berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Damak dan JPKK Batu Balai serta penduduk kedua buah kampung tersebut yang turut menghulurkan bantuan kewangan ketika bapanya dirawat di Korea.
“Apapun saya reda dengan ujian Allah ke atas bapa dan kini kami sekeluarga berasa gembira kerana berpeluang menatap wajahnya bapa sebentar lagi setelah mendarat di KLIA dan berdoa penyakit strok yang dihadapinya kembali pulih,”katanya.-SAHIH.